Sabtu, 29 Disember 2018 | 10:01am
JASMIN bangga slogan yang diperkenalkannya membawa aura positif kepada peminat. - Foto Instagram Jasmin Hamid
JASMIN bangga slogan yang diperkenalkannya membawa aura positif kepada peminat. - Foto Instagram Jasmin Hamid

Slogan Hebat Bukan? eratkan Jasmin, peminat

KUALA LUMPUR: Biarpun slogan Hebat Bukan? yang diperkenalkannya pernah dipersenda, pelakon popular, Jasmin Hamid tetap berbangga kerana ia turut mengeratkan hubungannya dengan peminat.

Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Boss dan Kanta Serigala itu mengakui, pernah terkesan apabila segelintir pihak cuba memperlekehkan makna di sebalik slogan itu.

“Tidak sangka pula ia akhirnya melekat dalam ingatan ramai, malah sering digunakan peminat setiap kali kami berinteraksi.

“Saya pula menganggap ia sebagai doa kerana slogan itu membawa aura positif. Semua manusia di dunia ingin menjadi hebat dan berusaha ke arah yang lebih baik.

“Ia secara tidak langsung, membakar semangat orang lain untuk menjadi seperti insan yang mereka kagumi. Itu yang cuba saya terapkan setiap kali menggunakan perkataan itu di laman sosial,” katanya.

Jasmin berkata, penggunaan perkataan itu dicetuskan anak lelakinya, Ian Haziq ketika dia sedang mencari slogan untuk memperkenalkan produk penjagaan kulit.

“Dia yang memberi idea supaya saya menggunakan perkataan Hebat Bukan? Tidak mudah sebenarnya mencari perkataan atau slogan yang mampu memberi impak kepada orang ramai.

“Alhamdulillah, usaha saya itu berhasil apabila ramai yang ingat, sekali gus memberi nilai tambah untuk mengukuhkan lagi jenama produk saya,” katanya.

Jasmin berkata, slogan itu hanya digunakan pada tempat yang bersesuaian kerana ia diperkenalkan bukan semata-mata untuk menjual produk.

“Ada peminat yang tanya, kenapa saya tidak meletakkan perkataan itu pada semua gambar yang dimuat naik di Instagram?

“Tidak semua keterangan gambar perlu disertakan dengan slogan itu. Takkan ketika menziarahi orang sakit, saya sertakan juga slogan itu? Memang tidak kena,” katanya.

Jasmin yang masih aktif berlakon bersyukur apabila terus diberi kepercayaan membawa pelbagai watak dalam produksi televisyen dan di layar perak.

Terbaru, Jasmin membintangi filem Anak Perjanjian Syaitan yang turut menampilkan Nadzmi Adhwa dan Chacha Maembong.

Berita Harian X