Jumaat, 4 Januari 2019 | 4:25pm
SUFIAN menafikan status dimuat naik di Twitter ditujukan kepada bekas tunang, sebaliknya sindiran kepada netizen yang tidak henti-henti membangkitkan kisah peribadinya. -Foto IG Sufian Suhaimi

Sufian 'bahasakan' netizen

KUALA LUMPUR: Status dimuat naik penyanyi Sufian Suhaimi di Twitter baru-baru ini, mencetuskan kontroversi apabila ada peminat membangkitkan kemungkinan kata-kata itu ditujukan kepada bekas kekasih.

Peminat yang terkejut dengan status berkenaan, membuat pelbagai andaian apabila Sufian meluahkan kata-kata berbunyi:

“Menurut kalendar Cina, 2019 adalah tahun babi... Kita tinggalkan di situ saja ya?” sindirnya.

Sufian menafikan apa yang dikongsi adalah sindiran buat bekas tunang, sebaliknya ditujukan kepada netizen yang tidak habis-habis bertanya soal peribadi.

“Saya sudah lama ‘moved on’. Dia (bekas tunang dan kekasih) pun sudah bertemu bahagia. Jadi, tak perlulah nak ungkit lagi kisah lama.

“Tapi biasalah netizen ini terus-terusan menguji diri saya. Ada yang tagged saya di Instagram, contohnya, sambil memberi komen bukan-bukan.

“Antaranya, ada yang bertanya apakah saya tidak sedih apabila bekas tunang sudah berkahwin. Ada juga yang mahu tahu apa perasaan saya apabila dia sudah bernikah dan bermacam-macam lagi.

“Saya rasa tak perlulah jadi begitu... Kenapa hendak kaitkan saya lagi dengan dia? Sebab itulah saya ‘bahasakan’ netizen dengan status di Twitter,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan lain, Sufian teruja beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, bulan depan dengan mendendangkan lagu Di Matamu.

“Selepas bersaing dengan lagu Terakhir pada AJL 31, kali ini saya tampil dengan Di Matamu.

“Alhamdulillah... Saya tak sabar dan teruja mempersembahkan lagu yang cukup dekat dengan peminat ini,” katanya yang giat membuat persiapan beraksi di acara anugerah berprestij itu.

“Konsep persembahan sudah dibincangkan. Cuma belum diputuskan yang mana satu mahu dipilih.

“Cuma saya risau dengan kesihatan... Baru-baru ini, tekak saya berdarah lagi bercampur dengan demam dan batuk. Harap masalah ini akan lekas pergi,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru, Sufian akan single kelima selepas AJL33.

“Lagu sudah dirakamkan, bulan lalu. Cuma belum diputuskan judulnya,” katanya.

Sufian juga baru selesai membintangi telefilem berjudul Bayang arahan Zulhuzaimy.

“Saya berganding dengan Elisya Sandha. Sebelum ini, saya sekadar memegang watak kecil.

“Kali ini, saya jadi hero pula. Memang saya gementar menunggu maklum balas peminat,” katanya.

Menerusi telefilem itu, Sufian memegang watak Pyan iaitu graduan bidang perakaunan yang bekerja sebagai penghantar barang dan penyanyi jalanan.

“Pyan bekerja kuat kerana mahu membantu ibunya yang sakit. Malah, dia juga menyelamatkan Maya iaitu watak lakonan Elisha daripada terjerumus ke kancah pelacuran,” katanya.

Berita Harian X