Sabtu, 5 Januari 2019 | 2:06pm
PELAKON, Izreen Azminda, dijangka melahirkan cahaya mata keduanya pada Julai depan. NSTP/Salhani Ibrahim

Hamil 3 bulan, Izreen alami alahan teruk

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Izreen Azminda, 34, mengaku berdepan alahan teruk sehingga memaksanya lebih banyak berbaring pada peringkat awal kehamilan.

Pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Eksperimen Cinta itu kini hamil tiga bulan hasil perkongsian hidup dengan pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 31, atau Ude. Pasangan ini berkahwin pada 8 Ogos 2017.

"Alhamdulillah, akhirnya Allah memakbulkan doa saya dan suami untuk memperoleh cahaya mata. Kami memang mengharapkan dapat menimang cahaya mata dengan segera.

"Bagaimanapun, kali ini saya mengalami alahan teruk berbanding ketika mengandungkan anak pertama, Muhammad Adrian Umar, yang sudah pun berusia enam tahun.

"Pada awal kehamilan, saya hanya terlantar atas katil, sukar nak bangun selama hampir dua bulan. Saya langsung tidak boleh melakukan kerja rumah. Jika saya buat juga, mudah berlaku pendarahan. Selama itu juga saya terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapat suntikan," katanya.


IZREEN bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, ketika hadir pada sebuah acara di Taman Melawati, Mei tahun lalu. NSTP/Owee Ah Chun

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin TV3 2013 itu berkata, keadaannya kini agak baik selepas melepasi kehamilan peringkat pertama.

"Saya sudah melepasi seksa kehamilan peringkat awal. Kini, hanya sesekali saya berasa berat kepala dan loya.

"Cuma, saya masih perlu berhati-hati dan mengelakkan daripada melakukan kerja berat. Kandungan baru mencecah tiga bulan, masih tidak kuat lagi," katanya.

Mengulas jantina anak, Izreen berkata, dia dan suami mengharap dapat menimang cahaya mata perempuan pula.

"Suami teringin sangat menimang 'baby girl' memandangkan ketiga-tiga anak kami adalah lelaki. Bagaimanapun, saya berserah pada ketentuan Allah. Jika dapat anak lelaki lagi, kami tetap bersyukur.

"Saya berdoa sepanjang masa supaya anak yang bakal dilahirkan sempurna dan sihat,” katanya yang dijangka melahirkan cahaya mata mereka pada Julai depan.


IZREEN berkongsi kehamilannya di Instagram, semalam.

Izreen berkata, dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan sejak dirinya disahkan mengandung.

"Bukan sengaja hendak menolak rezeki, tetapi keadaan dan kesihatan saya amat teruk serta tidak menentu.

"Saya pula tidak berani untuk memaklumkan mengenai kehamilan saya sebelum ini kerana kandungan masih awal. Bukannya apa, saya bimbang jika beriya-iya kongsi cerita, tetapi tiada rezeki," katanya yang hanya berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram, semalam.

Berita Harian X