Selasa, 8 Januari 2019 | 1:50pm
IAN Haziq bertuah minat dalam bidang lakonan mendapat restu ibunya, Jasmin Hamid. Foto IG Ian Haziq
IAN Haziq bertuah minat dalam bidang lakonan mendapat restu ibunya, Jasmin Hamid. Foto IG Ian Haziq

Ian Haziq tak mahu ibu malu

KUALA LUMPUR: Anak bongsu pelakon Jasmin Hamid, Ian Haziq MacQuistan akur, jika kemunculan awalnya dalam dunia lakonan dibayangi populariti ibunya.

Ian Haziq, 17, berkata, dia tidak terbeban dengan pandangan umum kerana apa yang penting ketika ini, adalah membuktikan kemampuan sebenarnya.

“Saya tahu, perkara itu pasti diperkatakan, namun ia tidak memberikan tekanan. Dari satu sudut, saya bangga dengan pencapaian ibu yang masih bertahan selepas 30 tahun dalam bidang seni.

“Tidak dinafikan, ibu banyak membantu dengan membuka jalan untuk saya bertapak dalam bidang ini. Tetapi, sama ada berjaya atau sebaliknya, ia bergantung kepada usaha saya,” katanya.

Diperkenalkan menerusi drama Patah Sayap Bertongkat Paruh arahan Along Kamaluddin, Ian Haziq berkata, dia tidak pernah bermegah dengan status ibunya sebagai pelakon popular.

Ia sebaliknya, mengingatkan Ian Haziq supaya menjaga reputasi dan nama baik, selain berusaha keras menjadi pelakon versatil seperti ibunya.

“Ibu adalah lambang wanita yang berjiwa kental. Dia banyak bersusah payah membesarkan saya dengan mencari rezeki sebagai pelakon.

“Saya bangga dengan bakat dan semangat ibu yang bekerja keras membuktikan kemampuan diri. Saya juga mahu menjadi pelakon yang baik sepertinya,” katanya.

Ian Haziq bersyukur, minatnya itu direstui ibunya yang memberikan syarat supaya dia menyelesaikan dulu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menyifatkan 2019 sebagai permulaan yang baik apabila mendapat kepercayaan mendampingi pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz dan Fasha Sandha, Ian Haziq juga berharap, drama itu menjadi titik tolak untuk dia mendapat peluang lain.

“Kepercayaan yang diberikan Zeel Production saya ambil untuk membuktikan kemampuan diri. Alhamdulillah, meskipun ia penampilan sulung, watak yang ditawarkan memberi ruang untuk saya menyerlah,” katanya.

Ian Haziq berkata, dia juga bertuah mendapat bimbingan pelakon berpengalaman, Fauziah Nawi.

“Saya berterima kasih kepada ibu yang membuka peluang untuk saya menimba ilmu dengan pelakon hebat. Saya hargai ruang yang diberikan,” katanya.

Berita Harian X