Rabu, 9 Januari 2019 | 5:10pm
SERING berfikiran positif resipi Nora Danish kekal kebahagiaan. Foto IG Nora Danish

Nora Danish tak lupa saat getir besarkan Rayqal

Oleh Zaidi Mohamad

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pengalaman membesarkan anak sulung bersendirian selepas berpisah menjadi momen paling berharga yang mematangkan pelakon, Nora Danish.

Nora, 36, dalam luahan menerusi Instagram sempena ulang tahun kelahiran Putra Rayqal Ramli yang ke-10, Isnin lalu berkata, ujian membentuknya lebih kuat mengharungi dugaan hidup.

“Saya juga selalu bersyukur, tidak cepat melatah dan sentiasa positif, serta memikirkan (perkara) yang baik terhadap orang lain.

“Semua itu kerana pengalaman lalu yang mendewasakan diri. Setiap apa yang berlaku, hadapilah dengan senyuman dan sentiasa berfikir, insya-Allah, pasti nanti kebahagiaan akan menyusul,” katanya.

Pelakon Surga Yang Tak Dirindukan 2 yang juga isteri kepada Nedim Nazri itu turut menegaskan, hubungannya dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai kekal baik.

“Kami tahu apa yang terbaik untuk diri masing-masing, malah hubungan kami satu dalam sejuta. Saya sedar dan banyak belajar daripada apa yang terjadi.

“Allah akan duga kita, mungkin sampai kita tidak tertanggung. Tetapi, ujian itu yang membuat kita menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Dalam catatan itu juga, Nora berkata, tiada lain yang diharapkan kecuali anak kesayangannya diberikan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Rayqal menjadi teman saya ke sana dan ke mari, melayani sikap ‘sewel’ saya sebelum bertemu Nedim,” katanya.

Nora mendirikan rumah tangga dengan Jejai pada 20 Jun 2006, tetapi berpisah pada 10 Julai 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Rayqal.

Pada Mac 2017, Nora bernikah dengan Nedim dan dikurniakan anak lelaki Mohamed Neqayl Nedim atau nama mesranya, Ney Ney.

Berita Harian X