Rabu, 9 Januari 2019 | 9:52pm
PELAKON, Anzalna Nasir dan suami, Muhamad Hanif Mohamad Zaki ketika menghadiri sebuah acara di ibu kota, Mei tahun lalu. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Anzalna hamil empat bulan

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Anzalna Nasir, 31, mengesahkan dirinya hamil empat bulan.

Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir di Instagram, sebentar tadi, dengan memuatkan luahan rasa bahagia apabila saat dinantikan itu tiba juga.

"Saat yang saya nantikan... Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan bila masa sesuai untuk kita mendapatkannya (dikurniakan rezeki untuk hamil).

"Pada hari istimewa ini, pada hari lahir saya, saya ingin berkongsi berita gembira, Hanif (suami) dan saya bakal menimang anak pertama," katanya.

Pelakon drama Dendam Aurora itu turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dirinya.

"Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang selama ini mendoakan saya dan suami untuk menerima zuriat.

“Benar! Jodoh, rezeki, zuriat atau ajal maut adalah rahsia-Nya. Tidak perlu kita mempersoalkannya. Apa yang penting kita berusaha, berdoa dan bertawakal," ujarnya.

Anzalna dan Muhamad Hanif Mohamad Zaki mendirikan rumah tangga pada 22 Februari 2016.

Berita Harian X