Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:45am
PENYANYI, Nur Fazura, pada majlis pradengar single baharu dan pelancaran video muzik, Can’t Forget Me, di Sungai Buloh. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Video muzik lagu Fazura paling mahal

SUNGAI BULOH: Video muzik single terbaru Nur Fazura Sharifuddin, Can’t Forget Me, melakar sejarah tersendiri buat syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Malaysia.

Ia dikatakan video muzik paling mahal pernah dihasilkan oleh label terbabit bagi artis tempatan.

Biarpun tidak menjelaskan secara terperinci kos sebenar bagi pembikinan klip berkenaan, Pengarah Urusannya, Kenny Ong, memaklumkan jumlah dikeluarkan sama dengan nilai penerbitan empat video muzik lain.

“Buat masa ini, kami belum mendapat jumlah sebenar kos pembikinan video muzik itu. Namun saya boleh katakan, jumlah dikeluarkan bersesuaian dengan status Fazura yang bukan sahaja penyanyi, tetapi seorang penulis.

“Kami tidak kisah untuk berbelanja besar kerana Fazura adalah harta sangat bernilai buat kami,” katanya pada majlis pelancaran single dan video muzik itu, di sini.

Pada majlis berkenaan, Kenny turut mengumumkan khabar gembira apabila album sulung artis jelita itu yang berjudul Fazura berjaya meraih anugerah platinum.

Jualannya mencecah 200,000 unit, merangkumi album fizikal dan digital.

Sementara itu, bintang berusia 35 tahun yang mula dikenali menerusi lagu Sayangi Dirimu ini meluahkan rasa syukur dengan kejayaan berganda diraihnya.

“Untuk sampai ke tahap ini, saya melalui pelbagai dugaan dan cabaran. Insiden dikecam teruk selepas menjayakan persembahan pada konsert Formula 1, dua tahun lalu, memberi pengalaman berharga buat saya.

“Waktu itu, saya masih baru dalam bidang seni suara dan kebetulan menghadapi masalah teknikal membabitkan monitor telinga.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana saya percaya, seseorang perlu jatuh terlebih dulu sebelum kembali bangkit meneruskan perjuangan. Saya bersyukur dengan kurniaan Allah untuk saya, hari ini,” katanya.

Isteri kepada aktor, Fattah Amin, ini merakamkan lagu hasil ciptaannya dengan kerjasama Willy Beaman dan Cameron Forbes itu di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, tahun lalu.

Can’t Forget Me boleh didapati di pelbagai pelantar digital mulai 18 Januari ini.

Berita Harian X