Ahad, 13 Januari 2019 | 9:45am
PENYANYI, Safura Yaacob, bakal muncul dengan single baharu berjudul Dendam Kemala. - Foto Salhani Ibrahim

Lagu etnik moden sandaran Safura

KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun tanpa lagu baharu, Safura Yaacob mengharapkan sinar gemilang pada 2019 bersama single terkini, Dendam Kemala.

Dihasilkan oleh komposer, Asfan Shah dan Rafikoncept, manakala liriknya hasil tulisan Fedtri Yahya, lagu berkenaan turut menyerlahkan sisi berbeza penyanyi terbabit apabila bakal tampil dengan irama etnik moden.

Sebelum ini, Safura yang juga dikenali sebagai pelakon selesa membawakan irama balada seperti lagu popularnya, Sedalam Mana Cintamu.

“Penyertaan dalam Gegar Vaganza musim kelima bagai membuka laluan untuk saya kembali dengan karya baharu. Walaupun menjadi peserta pertama tersingkir, saya sedar peminat setia masih berharap saya akan membuat kemunculan semula dalam bidang muzik.

“Biarpun jumlah peminat saya mungkin tidak ramai, namun merekalah yang sentiasa kuat menyokong di belakang. Mereka juga insan yang memberikan semangat dan mendorong saya untuk menyanyi semula.

“Justeru, amat merugikan jika saya tidak mengambil peluang yang kembali terbentang. Apatah lagi, pada Februari ini usia saya sudah memasuki 46 tahun. Peluang dan semangat sebegini bukannya datang selalu,” katanya kepada BH Online.

Lebih utama, katanya, suami (Shahrolnizam Nor) juga memberikan restu untuk dia kembali aktif di arena seni suara.

Menurut Safura, lagu berkenaan dirakamkan pada hujung tahun lalu.

“Asfan sememangnya antara komposer yang saya senaraikan untuk tujuan kerjasama. Dia juga antara yang paling awal memberikan maklum balas, tanpa keberatan. Sehari selepas berhubung di telefon, kami berjumpa dan mengadakan perbincangan lanjut.

“Jujurnya, saya amat berpuas hati dengan hasil ciptaan mereka. Sejak awal mendengar demo lagu ini pun saya sudah terusik dengan melodinya,” katanya.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata ini, jika tiada halangan, dia ingin memperkenalkan single terbabit kepada peminat secepat mungkin.

Lebih dua dekad berada dalam dunia hiburan, Safura pernah muncul dengan empat album studio, iaitu Sedalam Mana Cintamu (1997), Mencari Mahligai (1998), Selamanya (2001) dan Dia Milikmu (2004).

Berita Harian X