Ahad, 13 Januari 2019 | 11:45am
GAMBAR yang dimuat naik Sarah dan Ariff mencetuskan spekulasi mereka sedang bercinta. - Foto IG Sarah Suhairi

'Mahu kami bercinta? Doa yang baik-baik'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sarah Suhairi, 18, mengaku Ariff Bahran jejaka yang paling rapat dengannya ketika ini.

Remaja yang kini popular dengan lagu Nyawa & Raga itu bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan mereka sedang dilamun cinta.

“Kami memang rapat, malah sudah lama saling mengenali kerana masing-masing bernaung di bawah label sama. Cuma, kami semakin rapat selepas menyertai program realiti, Big Stage.

“Begitupun, kemesraan itu belum sampai ke tahap bercinta. Malah, bibit cinta antara kami juga belum ada.

“Alhamdulillah, saya bersyukur jika ramai yang senang melihat persahabatan kami. Tiada lain yang saya harapkan, kecuali doakan yang terbaik," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Ariff, 21, dan Sarah memuat naik foto mereka di laman sosial dengan keterangan gambar yang membayangkan masing-masing seperti diulit cinta.

Ia membuatkan peminat tertanya-tanya, adakah kedua-duanya menjalinkan hubungan mesra.

Ditanya mengenai kemungkinan dia dan penyanyi itu merakamkan lagu duet, memandangkan mereka bernaung di bawah label sama, Sarah berkata, perkara itu belum dibincangkan.

Sementara itu, Ariff berkata, dia bersikap terbuka apabila peminat berharap dirinya dan Sarah disatukan.

"Bagi mereka yang mahu melihat kami bercinta, doakan sahaja yang baik-baik. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada hari kemudian.

"Ketika ini, saya sibuk merencana perjalanan karier muzik dan memberi fokus untuk mengukuhkan lagi nama dalam bidang seni.

“Cinta juga bukan perkara utama memandangkan kami masih muda. Tetapi, saya akui Sarah adalah rakan perempuan paling akrab," katanya.

Berita Harian X