Isnin, 14 Januari 2019 | 11:30am
SYAMEl galas cabaran membawakan lagu rancak, Kau Pun Sama pada kemuncak AJL 33, 3 Februari ini. Foto Nurul Shafina Jemenon
SYAMEl galas cabaran membawakan lagu rancak, Kau Pun Sama pada kemuncak AJL 33, 3 Februari ini. Foto Nurul Shafina Jemenon

Ernie bantu Syamel buat persediaan hadapi AJL 33

AMPANG: Kali kedua beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Syamel mengakui, debaran yang dirasainya kali ini berganda, terutama dalam mencorakkan persembahan.

Tidak mahu terlalu memikirkan harapan ramai untuk mengekalkan trofi Vokal Terbaik, Syamel sebaliknya berkata, dia tercabar membuktikan kemampuannya menyanyikan lagu rancak, Kau Pun Sama.

Bagi memastikan persembahannya pada malam kemuncak AJL 33 di Axeata Arena, Bukit Jalil, di sini pada 3 Februari ini lebih menyerlah, Syamel berkata, dia membuat persediaan rapi dari segi vokal dan tarian.

“Saya kini giat berlatih dengan Alam Wakaka sebagai koreografer tarian, manakala untuk vokal pula saya mendapatkan tunjuk ajar teman duet saya dulu, Ernie Zakri.

“Kedua-dua elemen sama penting memandangkan Kau Pun Sama cukup ‘catchy’ dengan irama yang pantas, selain bait liriknya yang menyerlah.

“Bekerja dengan mereka cukup menyeronokkan kerana Alam dan Ernie sentiasa mempunyai idea segar untuk ditampilkan pada malam itu,” katanya.

Pemilik nama penuh, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 25, itu berkata, berbanding Aku Cinta yang menonjolkan kemampuan vokalnya, Kau Pun Sama pula lebih menekankan kepada momentum persembahan.

Turut menjaga stamina menerusi latihan yang intensif, Syamel berkata, AJL 33 menjadi permulaan untuk dia terus sibuk menyusun agenda seninya sepanjang 2019.

Selain merancang untuk menghasilkan album penuh, dia juga bersedia tampil dalam persembahan ‘showcase’ solo dengan memilih Singapura sebagai lokasi pertama.

Kata penyanyi itu, bukan sengaja melupakan tanah air, sebaliknya dia mempunyai sebab tersendiri memilih Singapura negara itu sebagai lokasi pertama persembahan.

“Kehadiran tahun baharu menguatkan tekad saya untuk memberanikan diri membuat showcase solo dengan sokongan pihak pengurusan.

“Lokasi pertama adalah Singapura memandangkan di sana saya turut mempunyai kelompok peminat yang sentiasa memberi sokongan padu.

“Bukan tidak mahu memulakan projek itu di sini, cuma Kuala Lumpur sudah rancak dengan pelbagai acara, termasuk konsert dan persembahan artis luar negara,” katanya.

Syamel bagaimanapun, tidak menafikan, turut mempunyai perancangan untuk beraksi di ibu negara, selain di beberapa lokasi lain.

“Namun, saya masih dalam perincian untuk mencari penaja yang dapat membantu merealisasikan misi ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Berita Harian X