Selasa, 15 Januari 2019 | 4:38pm
PENYANYI, Sufian Suhaimi, teruja video muzik lagu nyanyiannya, Di Matamu, mencatat jumlah tontonan tertinggi bagi artis Malaysia di YouTube. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pecah rekod artis Malaysia, Di Matamu raih 50 juta tontonan

KUALA LUMPUR: Pecah rekod dengan 50 juta tontonan.

Ramalan video muzik Di Matamu dendangan Sufian Suhaimi meleburkan rekod tontonan YouTube yang dipegang Aiman Tino melalui lagu Ku Rela Dibenci, jadi nyata.

Sehingga jam 4 petang ini, video muzik lagu itu meraih 50,037,830 tontonan dengan jumlah ‘views’ terus meningkat hampir setiap minit. Ia dimuat naik pada 22 Mac tahun lalu.

Video muzik Aiman yang dimuat naik pada 1 Jun 2016, mencatat 49,965,531 tontonan sehingga semakan terakhir pada jam 4.20 petang.

Dengan rekod baharu ini, impian Sufian melihat single keempatnya mencecah 50 juta tontonan sebelum Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, awal bulan depan, tercapai.

Di Matamu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen bersaing di pentas AJL 33 pada 3 Februari depan.

Mengulas kejayaan terbabit Sufian berkata, dia sangat gembira dan takjub dengan pencapaian lagu itu di YouTube.

“Single ini menjadi antara yang terus mengangkat nama saya di pentas seni. Bagi saya, kejayaan ini satu fenomena dan pencapaian peribadi buat saya,” katanya kepada BH Online.

Sufian mengaku, single berkisar cinta tidak kesampaian itu memberi kesan besar dalam kerjaya seninya.

“Banyak cerita yang berkait dengan saya menerusi lagu ini.

“Lagu ini juga membawa saya ke Indonesia hingga merakamkannya secara duet bersama Shima Band dengan judul Di Matamu 2.0,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Sufian baru selesai membintangi telefilem, Bayang, arahan Zulhuzaimy.

“Saya berganding dengan Elisya Sandha. Sebelum ini, saya sekadar memegang watak kecil.

“Kali ini, saya jadi hero pula. Memang saya gementar menunggu maklum balas peminat,” katanya.

Menerusi telefilem itu, Sufian memegang watak Pyan, iaitu graduan dalam bidang perakaunan yang bekerja sebagai penghantar barang dan penyanyi jalanan.

“Pyan bekerja kuat kerana mahu membantu ibunya yang sakit. Malah, dia juga menyelamatkan Maya (Elisya) daripada terjerumus ke kancah pelacuran,” katanya.

Berita Harian X