Khamis, 17 Januari 2019 | 2:40pm
ARIFF Bahran dan Sarah mengakui rapat, namun menafikan mereka bercinta. Foto Khairul Azhar Ahmad

Rapat tapi belum sampai tahap bercinta

KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi, Ariff Bahran, 20, dan Sarah Suhairi, 19, mengakui sedang berkawan rapat, namun hubungan itu belum sampai tahap bercinta.

Menepis laporan yang mengatakan mereka sudah setahun bercinta, Bahran berkata, dia dan Sarah hanya berkawan, namun tidak menafikan, sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Kami tidak bercinta seperti yang disangka ramai, sebaliknya cuma rapat sebagai kawan.

“Disebabkan isu ini, timbul pelbagai pertikaian dalam kalangan netizen hingga mencetuskan komen negatif.

“Masih terlalu awal untuk kami memikirkan soal itu, namun ramai pula yang membayangkan saya dan Sarah seolah-olah sudah merancang untuk ke fasa lebih serius.

“Kami masih terlalu muda untuk berumah tangga, namun doakan saja yang baik-baik kerana kita tidak pernah tahu apa akan terjadi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Sarah yang popular dengan lagu Nyawa & Raga berkata, dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan dalam hubungan mereka.

Dia sebaliknya mengakui, sedia berkawan dengan sesiapa saja memandangkan hubungannya dan Bahran belum sampai tahap bercinta.

Mengakui, hubungan mereka semakin rapat sejak kebelakangan ini, namun itu tidak bermaksud dia dan Bahran menjalin ikatan istimewa.

“Saya rapat kerana bernaung di bawah label yang sama. Bukan hanya dengan Bahran, saya juga rapat dengan penyanyi lain.

“Memang tidak dinafikan, kami kerap berjumpa di pejabat. Itu membuatkan hubungan kami rapat, tetapi kami tidak bercinta.

“Saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa saja selagi tiada ikatan yang pasti. Malah, saya masih tinggal bersama keluarga dan setiap kali keluar, ayah pasti menemani,” katanya.

Menyentuh mengenai pencalonan mereka dalam Anugerah Digital Muzik Era (EMDA) 2018 yang akan berlangsung pada 25 Januari ini, Sarah dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Muzik Video Paling Hit, Penyanyi Paling Hit di Media Sosial dan Temu Bual Terbaik Carta ERA.

Sementara itu, Bahran pula dicalonkan dalam kategori Penyanyi Pilihan Deeja. EMDA 2018 mempertaruhkan tujuh kategori dengan enam pemenang ditentukan menerusi undian peminat.

Berita Harian X