Khamis, 17 Januari 2019 | 3:30pm
IMPIAN pelakon, Noorkhiriah, memiliki cahaya mata perempuan terlaksana dengan kehadiran Nur dalam hidupnya sejak November lalu. - Foto ihsan Noorkhiriah

Si comel Nur penuhi impian Noorkhiriah

KUALA LUMPUR: Sudah lama pelakon Noorkhiriah teringin memiliki cahaya mata perempuan malah rela mengambil anak angkat agar hasrat itu dipenuhi.

Akhirnya, impian pelakon Nur itu termakbul, November lalu, apabila Noorkhiriah mengambil anak angkat perempuan yang diberi nama sama dengan drama rantaian popular itu.

Malah, foto dirinya bersama anak comel itu pernah dikongsi di Instagram, sebulan selepas proses pengambilan anak angkat yang kini berusia dua bulan itu, disempurnakan.

Namun, ketika itu, Noorkhiriah belum bersedia berkongsi berita gembira sehinggalah mendapat keizinan suami.

“Alhamdulillah, akhirnya keinginan mendapat anak perempuan dipermudahkan.

“Jika diikutkan, memang sudah lama teringin hendak memiliki anak perempuan. Kalau rezeki tak menyebelahi untuk hamil sekalipun, kalau dapat anak angkat, saya tak kisah,” katanya kepada BH Online.

Anak angkat pelakon, Noorkhiriah, yang dinamakan Nur seperti drama popular lakonannya.

Sebelum ini, Noorkhiriah pernah menyuarakan hasrat teringin anak perempuan kepada BH Online.

Noorkhiriah mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan sejak 13 tahun lalu. Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Hudhaifah, 10, dan Muhammad Yusoff, 8.

Bercerita mengenai si comel, Nur, Noorkhiriah berkata, bayi itu diperkenalkan seorang teman sebaik dilahirkan, November lalu.

“Sahabat saya beritahu ada anak angkat yang memerlukan penjaga. Selepas mendapat persetujuan suami, kami

mengusahakan proses pengambilannya.

“Semuanya berlaku tanpa dirancang rapi, namun dipermudahkan. Kami menjaga Nur sejak dilahirkan pada 10 November lalu,” katanya.

Noorkhiriah berkata, ketika mula menerima Nur dalam hidupnya, dia tidak pernah terfikir soal seperti siapa yang akan menguruskan si kecil itu jika dirinya sibuk di lokasi.

“Hal itu nanti biar Allah tentukan saja... Saya reda. Setakat ini, semuanya lancar,” katanya.

Mengenai pemilihan nama Nur, Noorkhiriah mengaku mendapat inspirasi daripada drama Nur arahan Shahrulezad Mohameddin yang dilakonkannya.

“Saya malas fikir panjang cukup saja nama Nur. Kalau nak letak nama lain selepas Nur, panjang berjela pula nanti.

“Tapi kalau saya nak rasa lain sikit, boleh panggil dia Cahaya yang sama maksud dengan Nur,” katanya yang sibuk berada di di lokasi penggambaran drama Nur 2.

Tambah Noorkhiriah atau nama penuhnya, Noorkhiriah Ahmad Shapie, dua anak lelakinya cukup mengalu-alukan kehadiran Nur.

“Kami sekeluarga sudah anggap Nur macam darah daging sendiri,” katanya.

Berita Harian X