Khamis, 17 Januari 2019 | 6:03pm
HANEESYA akur gelaran Dewi Remaja 2018/2019 yang dimenanginya ditarik balik. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Haneesya akur hilang gelaran Dewi Remaja

KUALA LUMPUR: Pelakon dan model, Haneesya Hanee akur, apabila gelaran Dewi Remaja 2018/2019 yang dimahkotakan kepadanya Ahad lalu, ditarik balik.

Haneesya atau nama sebenarnya, Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 18, turut memohon maaf atas apa yang berlaku dan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Pengumuman itu dilakukan dalam satu sidang media, petang tadi, susulan tersebarnya sebuah video yang memaparkan beberapa gadis didakwa peserta program itu di sebuah kelab malam.

“Ia tindakan yang wajar, malah sebelum sidang media bermula, saya sudah bersedia untuk mengembalikan gelaran ini kerana tahu perbuatan saya menjejaskan nama baik jenama itu.

“Jauh di sudut hati, saya ingin memohon maaf kerana kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Haneesya juga berharap, orang ramai tidak terus menyalahkan ibunya kerana wanita itu tiada kena mengena dengan apa yang berlaku.

“Bukan salah ibu kerana tidak pandai menjaga saya. Ia pilihan saya dan kalau boleh, berikan dia ruang,” katanya.

Sementara itu, Editor Remaja, Faiz Aimman berkata, mereka turut bersedih atas apa yang berlaku, namun memuji keberanian Haneesya tampil untuk memperbetulkan keadaan.

“Demi menjaga kredibiliti Dewi Remaja, kami memutuskan untuk tidak menobatkan mana-mana peserta sebagai pemenang, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga kekal dengan gelaran masing-masing.

“Kami memuji keberanian Haneesya tampil secara profesional untuk memperbetulkan keadaan dan sentiasa menyokong apa saja yang dilakukannya selepas ini,” katanya.

Berita Harian X