Sabtu, 19 Januari 2019 | 9:45am
AKSI Alif Satar dan Sherry Alhadad ketika mengacarakan AJL 32, tahun lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Alif, Sherry saling melengkapi

KUALA LUMPUR: Jodoh Alif Satar dengan Sherry Alhadad di pentas pengacaraan terus berpanjangan apabila kedua-duanya sekali lagi akan bergandingan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, awal bulan depan.

Sebelum ini, selain AJL 32, dua bintang pelbagai bakat terbabit turut terpilih mengacarakan program Rockanova dan Big Stage.

Sedar peluangnya dalam bidang pengacaraan semakin meluas, Alif, 28, tidak sesekali berasakan dirinya sudah berada pada tahap terbaik.

"Alhamdulillah, peluang bergandingan dengan Sherry di pentas pengacaraan menjadi detik cukup indah. Saya sendiri begitu seronok untuk mengacarakan program berkaitan muzik, yang menjadi sebahagian daripada diri saya sendiri.

"Namun, jauh sekali untuk saya menganggap diri ini sudah hebat dalam bidang berkenaan. Saya dan Sherry sebenarnya cuba saling melengkapi sebagai pengacara. Apa yang kurang pada saya, dia cuba bantu memperbaikinya," katanya merendah diri.

Menurut pemuda yang turut dikenali sebagai penyanyi dan pelakon itu, paling utama, mereka mewujudkan suasana kerja yang menyenangkan demi kebaikan bersama.

"Kami sama-sama menulis skrip dan mengimbangi setiap segmen yang dijayakan. Kami tentunya tumpang gembira apabila perancangan dan pelaksanaan tugas dapat disempurnakan sebaiknya, serta mendapat pujian.

"Begitupun, sudah tentu ada yang berasakan gandingan kami membosankan. Biasalah, kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

"Apa pun, selama gandingan ini disukai peminat, ia sudah memadai bagi kami," kata Pemenang Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini.

Dedah Alif, walaupun banyak juga pengalaman dikutipnya sebagai hos program televisyen, perasaan gementar tetap bersarang dalam diri.

"Berasa gementar itu perkara biasa. Cuma, sebelum naik ke pentas, kami selalu membaca doa. Sherry sering mengingatkan saya untuk berbuat demikian dan saya akan memimpinnya membacakan doa.

"Sedikit sebanyak, perasaan gementar hilang selepas berbuat demikian, begitu juga apabila disertakan latihan dan perancangan. Selebihnya, apabila berada di atas pentas, kami berserah," katanya yang sudah lebih 12 tahun berkecimpung di arena seni.

Selain Sherry, Alif juga pernah mengacara di sisi personaliti popular seperti Nabil Ahmad, Zizan Razak dan Shahrol Shiro.

Berita Harian X