Ahad, 20 Januari 2019 | 1:11pm
Mawi tidak sabar mempersembahkan filem arahan sulung yang belum diberi judul kepada peminat. Filem garapannya sudah mendapat kelulusan LPF, baru-baru ini. - Foto Instagram Mawi

Mawi lega filem lulus

KUALA LUMPUR: Mula berjinak di kerusi sutradara, Mawi lega apabila filem sulungnya mendapat lampu hijau Lembaga Penapisan Filem (LPF) termasuk adegan membabitkan watak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Biarpun belum diberi judul, Mawi bersyukur LPF memberi klasifikasi P13 ke atas karya arahannya itu yang turut memaparkan adegan pergaduhan.

“Alhamdulillah... Walaupun masih belum ada tajuk, karya sulung saya mendapat kelulusan LPF.

“Ini sangat melegakan kerana selepas ini, saya boleh menguruskan perkara lain sehingga filem ditayangkan kelak.

“Jika hendak diikutkan, babak pertengkaran tidaklah sampai memaki hamun, sebaliknya berkias sahaja... Watak LGBT pun lepas,” katanya kepada BH Online.

Filem yang diberi klasifikasi P13 merujuk kepada karya di mana penonton yang berumur bawah 13 tahun perlu mendapat pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menyaksikannya.

Selain itu, filem terbabit mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan.

Turut digariskan mengikut klasifikasi itu adalah jalan cerita yang sukar difahami dan unsur yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak.

Sebelum ini, Mawi atau nama sebenar, Asmawi Ani, 38, pernah menyuarakan kerisauan jika filem arahannya itu tidak diluluskan LPF.

Mawi mengaku tidak sabar untuk membawa filem berkonsepkan Islamik komedi itu kepada khalayak.

“Ini adalah filem pertama arahan saya... Semestinya bermacam-macam rasa ada. Apabila sudah lepas daripada suntingan LPF, saya rasa satu beban sudah kurang.

“Bolehlah saya fikir perkara lain. Selepas ini, tunggu keputusan Skim Wajib Tayang (SWT) pula,” katanya.

Mawi berkata, dia merancang mengadakan sidang media mengenai tayangan filem berkenaan, bulan depan.

“Insya-Allah, judul filem saya itu akan diumumkan pada sidang media berkenaan,” katanya mengulas lanjut mengenai filem yang membariskan pelakon seperti Hazama, Joey Daud dan Along Cham itu.

Berita Harian X