Rabu, 23 Januari 2019 | 11:30am
Kumpulan Puteh dianggotai Ali (kiri) dan Mamak mahu mengambil iktibar atas kekalahan di pentas MLM 2018 dengan berusaha lebih gigih meraih populariti. Foto IG Ali Puteh
Kumpulan Puteh dianggotai Ali (kiri) dan Mamak mahu mengambil iktibar atas kekalahan di pentas MLM 2018 dengan berusaha lebih gigih meraih populariti. Foto IG Ali Puteh

Puteh kecewa tewas MLM 2018

SHAH ALAM: Kecewa.

Itu yang disimpulkan kumpulan pelawak Puteh selepas tewas di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018, Ahad lalu.

Ali Puteh berkata, dia dan Mamak meletakkan harapan tinggi untuk berada dalam kedudukan lebih baik berbanding tempat keempat seperti diumumkan.

“Selepas berjuang selama 11 minggu, kami kecewa untuk berbicara mengenai MLM 2018 lagi.

“Siapa yang tidak mahu bergelar juara? Kami sebenarnya terkilan dengan keputusan malam itu,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, kumpulan Shiro dianggotai Ajak dan Shahrol diumumkan juara MLM 2018.

Tempat kedua dimenangi Bocey yang dianggotai Abam, Fad dan Achey. Trio adik-beradik, Zero pula diumumkan pemenang tempat ketiga.

Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan bagaimanapun tidak menafikan faktor populariti mempengaruhi keputusan.

“Kami enggan digelar kumpulan ‘underdog’ lagi. Ini kerana sudah tiga tahun kami berjuang di pentas MLM.

“Jadi, Puteh harus berusaha lebih keras untuk dikenali. Biarpun terkilan, kami tidak mahu mengalah sebaliknya menjadikan pengalaman lalu sebagai penguat semangat.

“Insya-Allah... Ada rezeki kami pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, ditemui pada majlis pelancaran projek teater komedi seram anti dadah berjudul Dari Cherok Tok Kun Ke Gombak yang bakal dijayakan Puteh di sini, semalam, Mamak mengaku teruja untuk beraksi.

“Saya sudah tahu naskhah yang bakal dipentaskan Resdongs Entertainment ini sejak menuntut di sekolah menengah lagi.

“Bangga apabila kumpulan teater yang aktif di Pulau Pinang kini melebarkan sayap ke Selangor.

“Belum memulakan latihan, kami teruja berkongsi pentas bersama ramai pelawak lain. Malah, buat kali pertamanya, Ali berlakon teater,” katanya.

Berita Harian X