Rabu, 23 Januari 2019 | 2:00pm
Berdebar dengan harapan tinggi peminat, Azharina mengamalkan diet cecair sebagai usaha meningkatkan stamina dan penampilan sebelum konsert solo, Jun depan. Foto IG Azharina
Berdebar dengan harapan tinggi peminat, Azharina mengamalkan diet cecair sebagai usaha meningkatkan stamina dan penampilan sebelum konsert solo, Jun depan. Foto IG Azharina

Azharina amal diet cecair sebelum konsert

KUALA LUMPUR: Bakal beraksi di premis konsert dengan kapasiti 900 penonton, Azharina giat membuat persiapan termasuk mengamalkan diet cecair.

Diet cecair yang antara lain memerlukan pengamal bergantung kepada rejim ketat meminum air dengan lebih banyak atau menjamah sup, dilihat Azharina sebagai langkah terbaik meningkatkan stamina.

Azharina mengaku gentar dengan harapan tinggi diletakkan peminat terhadap Konsert Queen of Soul yang dijangka berlangsung di Teater Shah Alam pada 29 Jun depan.

“Jujur mengaku saya takut dengan kemampuan diri. Ini konsert berskala besar yang pertama buat saya.

“Saya percaya peminat meletakkan harapan tinggi selepas siri persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan Batam, Indonesia sebelum ini,” katanya kepada BH Online.

Azharina berjanji akan memberi persembahan yang meninggalkan kenangan manis buat peminat.

“Saya akan pastikan stamina cukup untuk menjayakan konsert itu kelak,” katanya yang akan mendendangkan 15 lagu termasuk sebuah lagu duet pada malam itu.

Masih berahsia mengenai penyanyi undangannya pada konsert berkenaan, Azharina mahu menyelitkan elemen kejutan pada acara itu.

“Belum tiba masanya saya mengumumkan artis undangan. Apa yang dapat dikongsi, penyanyi lelaki itu sangat popular di Asia,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X