Khamis, 24 Januari 2019 | 11:01am
PELAKON, Nad Zainal, bersyukur apabila tidak pernah berdepan pengalaman mistik di lokasi penggambaran. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Nad Zainal elak karya seram

KUALA LUMPUR: Biarpun gemar menonton cerita hantu, pelakon, Nad Zainal, seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada menerima tawaran membintangi karya bercorak seram.

Begitupun, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, 28, berkata dia mungkin menimbangkan tawaran sedemikian andai membantu perkembangan kerjaya seninya.

Kata Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2018 itu, dia turut menitikberatkan statusnya sebagai isteri dan ibu bagi memastikan projek lakonan yang diterima tidak memberikan impak negatif terhadap keluarga.

“Saya gemar menonton filem hantu, namun tidak berani untuk berlakon dalam naskhah bercorak seram. Alhamdulillah, sehingga kini saya belum berdepan sebarang pengalaman menakutkan. Cuma, saya pernah mendengar pengalaman orang lain ketika penggambaran filem, Kami Histeria, beberapa tahun lalu.

“Kalau boleh, memang saya cuba elakkan diri daripada naskhah sebegitu kerana mempunyai anak kecil. Saya tidak mahu sebarang anasir negatif mengganggu kami.

“Apa pun, apabila menerima tawaran drama atau filem sebegitu, saya harus bertawakal supaya ia tidak memberikan kesan kepada anak,” katanya kepada BH Online.

Menurut Nad, berlakon filem seram turut memakan masa agak panjang kerana lazimnya, penggambarannya dilakukan pada sebelah malam.

“Jika boleh, saya cuba mengurangkan pembabitan dalam projek sedemikian bagi meluangkan masa bersama anak di rumah. Bagaimanapun, kadang kala ia tidak dapat dielakkan, apatah lagi saya enggan terikat dengan watak sama sahaja,” katanya.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin, 29, pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Fahad Ibrahim, yang kini berusia dua tahun.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Nad baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua telefilem, masing-masing berjudul Terima Kasih Ibu dan Sehelai Selendang Putih untuk TV3.

Dia juga bakal memulakan penggambaran siri mini, Geng Mak-Mak, yang turut menampilkan Sazzy Falak dan Fatin Afeefa.

Berita Harian X