Sabtu, 26 Januari 2019 | 11:31am
PELAKON, Mathni Razak, enggan dikenali berdasarkan rupa paras semata-mata. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Dr Mukhriz' tak mahu dikenali kerana rupa

KUALA LUMPUR: Sedar bukan mudah untuk seseorang pelakon menambat hati peminat, Mathni Razak berusaha menambah ilmu di dada bagi memastikan kemunculan di arena seni meninggalkan kesan.

Justeru, pelakon yang dikenali dengan watak Dr Mukhriz dalam drama Nur itu sentiasa mengintai peluang mengikuti bengkel atau kelas seni yang tersedia.

Sejak sebulan lalu, dia menyertai bengkel anjuran Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi mempertingkatkan kemampuan beraksi di depan kamera.

“Menerusi bengkel yang akan berakhir dalam masa tiga minggu lagi ini, saya berpeluang mengasah mutu vokal dalam melontarkan suara ketika berlakon, selain mendalami ilmu lakonan.

“Saya bertuah apabila berpeluang mengutip ilmu dan pengalaman insan seni berkaliber tanah air. Setiap minggu, guru bertugas berubah-ubah. Mereka termasuk Fatimah Abu Bakar, Nasir Bilal Khan, Zaidi Omar dan ramai lagi.

“Kelas pula dianjurkan pada hujung minggu, jadi ia tidak mengganggu komitmen harian saya,” kata Mathni yang sebelum ini menyertai kursus anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) selain kelas lakonan bersama pelakon, Zul Huzaimy.

Ujar Mathni, dia tidak mahu dianggap pelakon yang hanya bersandarkan rupa paras.

“Saya akui terjun ke arena lakonan tanpa dirancang. Begitupun, saya tak mahu orang cakap saya sekadar bergantung kepada rupa.

“Kalau boleh, saya mahu peminat mengenali saya berdasarkan bakat. Saya serius mahu menjadi pelakon. Cuma, mungkin rezeki dan tuah belum menyebelahi diri,” kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Mula membina nama di pentas peragaan pada 2010, Mathni yang pernah beraksi dalam filem Karak dan Jin Notti bersyukur apabila langkahnya sebagai pelakon kini mula menampakkan hasil positif.

"Sebelum membintangi Nur, saya pernah berlakon di bawah arahan Shahrulezad Mohameddin dalam Degup Cinta. Mungkin sudah rezeki, apabila dia mengarahkan drama popular berkenaan, saya diberi peluang untuk sekali lagi bekerja dengannya.

“Menerusi kisah susulan Nur nanti, saya turut terbabit sama, tetapi sekadar penampilan khas. Jujurnya, saya tumpang bangga dan rasa bertuah dapat menjadi sebahagian daripada naskhah yang dinobatkan sebagai Drama Rantaian Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2018,” katanya.

Berita Harian X