Ahad, 27 Januari 2019 | 3:04pm
Ariff tidak pernah membandingkan kejayaan teman lain seperti Haqiem Rusli dan Khai Bahar dengan dirinya. Foto IG Ariff Bahran

'Rezeki orang, kenapa nak dibandingkan?'

KUALA LUMPUR: Selesa mengikut tempo sendiri dalam membina nama, penyanyi Ariff Bahran pelik mengapa segelintir pihak cenderung membandingkan kejayaan teman seangkatan dengan dirinya.

Bagi Ariff, kejayaan teman seperjuangan perlu disokong dan diraikan, bukannya dijadikan perbandingan atau sesuatu yang perlu dicemburui.

“Macam rakan-rakan artis lain yang berjaya, saya tak nampak persaingan antara kami. Saya percaya Allah sudah letakkan rezeki masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Dalam melakar kerjaya seni, Haqiem Rusli dan Khai Bahar adalah antara penyanyi bakat baharu yang sama-sama mencuba nasib dengan Ariff, namun lebih dulu mencipta populariti.

Ariff berkata, apa yang penting, dia sentiasa menyokong kerjaya seni teman-teman lain.

“Kita harus menyokong antara satu sama lain... Mereka menghasilkan kerja yang bagus,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ariff sedang sibuk mempromosikan single kedua berjudul Juara Dusta yang dilancarkan, dua bulan lalu.

Sebagai langkah menarik perhatian ramai, Ariff menjadikan media sosial sebagai medium berinteraksi dengan peminat.

Menurutnya, dia suka merakam dan memuat naik video lagu saduran yang dinyanyikan di Instagram.

“Saya akan pastikan sentiasa aktif di media sosial. Saya percaya Instagram atau Twitter adalah perantaraan yang sangat dekat antara artis dan peminat.

“Jika tidak bercakap tentang lagu, saya kongsi mengenai aktiviti harian. Jika seorang artis itu dilihat diam, mereka sebenarnya sibuk menghasilkan idea-idea baru.

“Sama juga dengan saya yang sedang memikirkan material single ketiga. Insya-Allah, lagu itu akan dilancarkan, tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X