Selasa, 29 Januari 2019 | 5:52pm
PENYANYI, Fatin Husna, bakal muncul dengan single keempat, tahun ini. - Foto Aziah Azmee

Undangan nyanyian kurang, Fatin Husna jual biskut

KUALA LUMPUR: Enggan mengharapkan dunia nyanyian semata-mata, penyanyi, Fatin Husna, turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menjual biskut keju.

Rakan duet Khai Bahar menerusi lagu Rahsia Kita itu berkata, dia tidak mahu berpeluk tubuh apabila menyedari arena seni belum menjamin rezekinya ketika ini.

“Ia hanya perniagaan kecil-kecilan bagi menambahkan pendapatan. Lagipun, tawaran menyanyi yang diterima ketika ini agak kurang, jadi apa salahnya saya berniaga?

“Saya akur, dunia seni ada pasang surutnya, justeru saya tidak boleh mengharapkan rezeki bidang seni suara sahaja,” kata Fatin, 23, yang juga calon Top 5 Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-31.

Tidak berniat mengibarkan bendera putih dalam bidang hiburan, Fatin sebaliknya menegaskan, kontrak bersama syarikat rakaman NAR juga belum tamat.

“Saya sebenarnya cuba mengimbangi antara aktiviti nyanyian dan perniagaan. Kalau tiada kerja seni yang diterima, saya memberikan sepenuh tumpuan kepada bisnes.

“Insya-Allah, dalam tahun ini, single keempat saya akan menyusul. Cuma, judulnya belum ditetapkan lagi,” katanya yang sebelum ini turut dikenali dengan lagu Terlepas Cinta dan Kau Berubah.

FATIN dan Khai Bahar popular dengan lagu Rahsia Kita. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mengenai dunia perniagaan, pemilik nama sebenar Fatin Husna Ibrahim ini cuba memanfaatkan ilmu kulinari dipelajarinya di sebuah kolej di Subang, sekitar 2013.

“Selain itu, saya belajar membuat biskut menerusi YouTube. Di samping biskut keju, saya juga membantu jualan ayam goreng rangup Korea yang diusahakan pihak lain,” kata Fatin yang dikesan bakatnya menerusi aplikasi Smule.

Berita Harian X