Khamis, 31 Januari 2019 | 4:01pm
MAWI hargai jasa peminat yang mengundinya sehingga muncul juara AF3, 14 tahun lalu. Foto Zunnur Al Shafiq

'Kereta tu banyak berjasa, saya takkan jual'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mawi tidak akan sesekali menjual kereta pertama yang dimenanginya ketika muncul juara Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 37, berkata kereta itu banyak meninggalkan kenangan dan akan terus dijaganya selagi hayat dikandung badan.

Bintang filem Munafik 2 itu berkata, meskipun pernah diberikan tawaran lumayan, dia tidak berhasrat untuk melepaskan kenderaan itu kepada orang lain.

“Kereta itu masih baik, malah sudah bertukar wajah apabila diberi cat baharu iaitu hijau. Ramai yang bertanya mengenai kereta itu, cuma saya belum berkesempatan untuk mengambil gambar terbaru.

“Kereta itu banyak berjasa kepada saya. Sukar untuk saya luahkan betapa ia terlalu bermakna, apatah lagi kereta itu diterima hasil kerja keras peminat untuk melihat saya muncul juara AF3.

“Saya sangat menyayangi kereta itu dan insya-Allah, ia akan bersama saya sehingga akhir hayat. Tiada langsung dalam perancangan untuk menjualnya,” katanya kepada BH Online.

KUTIPAN balik modal filem pertama arahannya tidak mematahkan semangat Mawi untuk terus menggarap produksi baharu. Foto Aziah Azmee

Menurut Mawi, walaupun sudah menjangkau hampir 14 tahun, kereta itu tidak memberikan banyak masalah, malah masih boleh digunakan untuk urusan harian.

Sementara itu, Mawi berkata, dia juga semakin selesa membawa imej baharu apabila mencari kelainan dengan berambut panjang.

“Rambut ini disimpan atas permintaan Syamsul Yusof ketika saya dipelawa membintangi Munafik 2. Sejak itu, saya selesa membawa imej ini.

“Ketika mula bertapak dalam industri hiburan, saya dikenali dengan imej botak. Jadi, sempena 2019, saya mahu tampil dengan gaya berbeza.

“Memang jika diikutkan ia mengambil sedikit masa untuk diuruskan, tetapi saya tiada masalah. Sesekali isteri akan bantu mengeringkan rambut. Dia juga nampaknya teruja melihat suaminya kelihatan berbeza,” kata Mawi.

Berita Harian X