Jumaat, 1 Februari 2019 | 9:30am
EZA Edmond mampu menarik nafas lega apabila lagunya, Bahagia diterima peminat. - Foto Zunnur Al Shafiq
EZA Edmond mampu menarik nafas lega apabila lagunya, Bahagia diterima peminat. - Foto Zunnur Al Shafiq

Eza akur kurang dikenali berbanding lagu

KUALA LUMPUR: Terpaksa menanti lebih dua tahun untuk melihat lagu nyanyiannya diterima, bakat baharu, Eza Edmond akur, apabila single sulungnya, Bahagia lebih popular berbanding dirinya.

Tidak ralat dengan senario itu, Eza, 21, sebaliknya positif kerana ia secara tidak langsung membuktikan bakatnya lebih diberi perhatian.

“Saya terima kenyataan apabila lagu Bahagia lebih popular berbanding saya sebagai penyanyinya. Saya bersyukur kerana pertaruhan awal saya akhirnya diterima juga peminat.

“Lagu itu diperkenalkan di YouTube pada 2016, namun baru kini mendapat perhatian peminat. Sekalipun mengambil sedikit masa, saya bangga kerana usaha sulung ini tidak sia-sia,” katanya.

Penuntut Jurusan Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam itu berkata, dia bernasib baik apabila diberi ruang mengetengahkan bakatnya.

“Saya akui, lagu ini mengambil sedikit masa untuk dilancarkan. Bukan kerana mahu menunggu sehingga tular atau diperkatakan, sebaliknya faktor seperti kekangan wang dan pengurusan membuatkan hasrat itu tertangguh,” katanya.

Gadis kelahiran Sabah yang bernaung di bawah Sheikh Qalam Records Sdn Bhd itu berkata, Bahagia menerima sentuhan komposer baharu, Hazmi Fahim.

Eza sebelum ini, pernah mendapat perhatian peminat muzik apabila nyanyian bersama rakannya, Aruu iaitu Kawan (Sila Meninggal) meraih lebih 1.5 juta tontonan di YouTube.

“Lagu itu dirakamkan ketika fikiran saya sedang serabut selepas selesai menduduki kertas peperiksaan yang sukar. Secara spontan, timbul idea untuk menghasilkan lagu berkaitan hutang.

“Tidak sangka, ramai yang mula berkongsi lagu itu apabila ibu memuat naik di Facebook. Mujur apabila Bahagia mula mendapat perhatian, ramai yang sudah tidak ingat lagi lagu itu,” katanya.

Berita Harian X