Jumaat, 1 Februari 2019 | 11:31am
PENYANYI, Denis Chairis, berharap single keduanya, Andai Kau Jadi Aku, mendapat sokongan penggemar muzik. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Kisah rakan ditinggalkan isteri jadi ilham lagu baharu

KUALA LUMPUR: Kisah sahabat sendiri yang sengsara ditinggalkan isteri memberikan ilham buat penyanyi, Denis Chairis, untuk menghasilkan single berjudul Andai Kau Jadi Aku.

Menjadikan lagu berkenaan sebagai taruhan terbaru, penyanyi dan komposer dari Indonesia itu berkata, karya terbabit berkisar pada pengorbanan seorang suami yang tidak dihargai oleh pasangannya.

Bahkan Denis berasakan, dia bertanggungjawab untuk membantu rakannya mencari semula kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

“Memakan masa tiga hari untuk disiapkan, saya menjadikan kisah hidup seorang rakan untuk dijadikan sebagai single terbaru. Ia berkisar mengenai kehidupan seorang jejaka yang tidak pernah dihargai oleh isterinya. Lebih menyediakan apabila dia ditinggalkan begitu sahaja.

“Malah, keadaannya juga semakin membimbangkan kerana tidak mahu makan akibat terlalu patah hati. Saya berhasrat untuk menjenguknya sebaik sahaja pulang ke Indonesia, sekali gus memberinya semangat untuk kembali meneruskan hidup.

“Lagu ini dijadikan sebagai medium untuk disampaikan kepada wanita terbabit. Bagaimana jika dia yang berada di tempat rakan itu dan berhadapan dengan situasi berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Bekas vokalis kumpulan Nirwana ini mengakui debaran menantikan sambutan pendengar terhadap karya terkininya, selain berharap ia dapat diterima dengan baik oleh peminat.

“Jujurnya, timbul kegusaran untuk menghasilkan lagu Andai Kau Jadi Aku kerana kejayaan single sebelum ini, Takut Kehilanganmu. Bukan mudah untuk mencapai tahap jangkaan pendengar. Namun, saya memilih untuk tidak terlalu membebankan fikiran mengenai perihal terbabit.

“Biarpun dilancarkan pada 2015, Takut Kehilanganmu masih ligat diputarkan di radio sehingga sekarang. Semoga single kedua ini juga mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Sementara itu, berasakan diri semakin dekat dengan negara ini dan peminat di Malaysia, Denis memaklumkan kian kerap berulang-alik antara Jakarta dengan Kuala Lumpur bagi memenuhi pelbagai undangan serta persembahan.

Berita Harian X