Jumaat, 1 Februari 2019 | 3:14pm
DUL bakal menggantikan bapanya, Ahmad Dhani, pada konsert reunion kumpulan Dewa 19 di Shah Alam, esok - Foto IG Dewa 19
DUL bakal menggantikan bapanya, Ahmad Dhani, pada konsert reunion kumpulan Dewa 19 di Shah Alam, esok - Foto IG Dewa 19

Anak ganti Ahmad Dhani pada konsert Dewa 19

KUALA LUMPUR: Kumpulan Dewa 19 mengesahkan, anak Ahmad Dhani, Dul Jaelani, bakal menggantikan bapanya pada Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, esok.

Dul atau nama sebenarnya Abdul Qodir Jaelani, 19, yang juga putera bongsu daripada tiga bersaudara itu bakal ditempatkan di posisi pemain keyboard.

"Baladewa Malaysia, inilah Abdul Qodir Jaelani (Dul Jaelani) untuk keyboard," kata band terkenal Indonesia itu menerusi kenyataan di laman Instagram rasmi konsert @de19wa, kelmarin.

Terdahulu, Dewa 19 dijadualkan mengadakan persembahan mega yang membariskan ketiga-tiga vokalis iaitu Ahmad Dhani, Once dan Ari Lasso serta beberapa pemuzik asal kumpulan berkenaan.

Namun, dalam kesibukan membuat latihan akhir, Isnin lalu, peminat dikejutkan keputusan Mahkamah Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Ahmad Dhani yang didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Berita itu membuatkan penonton yang sudah membeli tiket tertanya-tanya kesudahan konsert yang hanya tinggal seminggu lagi untuk direalisasikan, apatah lagi ia dijangka memusnahkan harapan menyaksikan ketiga-tiga vokalisnya berkongsi pentas.

Enggan menunggu lama atau membiarkan spekulasi liar bertebaran, Nizra Production selaku penganjur menerusi kenyataan media menegaskan konsert ‘reunion’ itu akan tetap diteruskan bersama Ari Lasso dan Once.

Sementara itu, perkongsian terbaru di Instagram Dul, bersama kenyataan dan gambarnya mengadakan latihan di studio dengan rakan bapanya mengesahkan lagi pembabitan dirinya dalam konsert berkenaan.

Dalam muat naik itu, Dul meluahkan harapan semoga persembahannya berjalan lancar, selain seakan-akan meminta restu bapanya dan peminat Dewa 19 untuk membolehkannya berada di pentas itu nanti.

"Nuwun sewu (minta izin) ya Ayah, @ahmaddhaniofficial permisi... Dan terima kasih juga kepada Dewa 19 yang membenarkan saya menggantikan tempat Ayah saya di Malaysia. Mohon doakan saya ya! Semoga semuanya berjalan lancar. Amin," tulisnya.

Malah, remaja berbakat itu turut memuat naik satu lagi entri yang menunjukkan dia bersama jentera Dewa 19 lain mengadakan kemunculan khas di Gusto Epiwalk Jakarta sebagai pada Rabu lalu sebagai 'pemanas' sebelum mereka berlepas ke Malaysia, semalam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X