Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:22pm

Air mata Dul tumpah di konsert Dewa 19

SHAH ALAM: Konsert Reunion Dewa 19 malam ini menyentuh hati hampir 7,000 penonton selepas pemain keyboard, Abdul Qodir Jaelani atau Dul, 19, menitiskan air mata ketika membuat persembahan.

Anak kepada vokalis kumpulan itu, Ahmad Dhani, tidak dapat menahan sebak ketika Ari Lasso yang juga bekas vokalis kumpulan terbabit menyanyikan dua lagu, Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Ahmad Dhani yang didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Anak Ahmad Dhani, Dul Jaelani menggantikan bapanya pada Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam. - NSTP/Supian Ahmad

Suasana konsert yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, pada mulanya gamat bertukar pilu saat kamera memfokuskan kepada wajah Dul yang sedang bermain alat muzik terbabit sambil menitiskan air mata.

Sebahagian penonton turut terkesan dan dilihat mengesat air mata, berkongsi kesedihan dirasakan anak muda itu.

Kepiluan tambah dirasa apabila nyanyian Ari Lasso disulami dengan paparan gambar Ahmad Dhani bersama keluarga dan rakan seperjuangannya dalam kumpulan itu di skrin gergasi.

Ari Lasso bersama kumpulan Dewa 19 dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam. - NSTP/Supian Ahmad

Aksi Once bersama kumpulan Dewa 19 dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam. - NSTP/Supian Ahmad

Penonton lebih beremosi apabila klip video ucapan Ahmad Dhani kepada peminat tegarnya yang digelar Baladewa dan Baladewi, yang memohon agar mereka mendoakannya, ditayangkan.

"Kepada Baladewa sekelian, saya memohon agar dapat mendoakan saya dan berharap saya dapat kembali bersama yang lain," katanya.

Konsert terbabit turut menampilkan vokalis Dewa 19, Once, dengan persembahan lebih 20 lagu popular mereka. serta penampilan kumpulan Andra & The Backbone bersama sembilan lagu.

Ari Lasso bersama kumpulan Dewa 19 dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam. - NSTP/Supian Ahmad
Berita Harian X