Ahad, 3 Februari 2019 | 4:51pm
Tidak meletakkan harapan, Akim berharap Ara dapat mendendangkan lagu Bunga dengan baik pada AJL 33, malam ini.
Tidak meletakkan harapan, Akim berharap Ara dapat mendendangkan lagu Bunga dengan baik pada AJL 33, malam ini.

Menang AJL 33, Akim tak mahu berharap

KUALA LUMPUR: Pencipta bersama lagu Bunga dendangan Ara Johari, Akim Ahmad enggan meletakkan harapan tinggi biarpun ada pihak meramalkan karya itu berpeluang mencuri perhatian juri pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, malam ini.

Selesa berkarya dengan nama pena, Hang Nadim, Akim sebaliknya lebih mengambil berat soal Ara yang diharap dapat menjaga kesihatan dan beraksi dengan baik, apabila tiba gilirannya.

“Saya bersyukur apabila ramai yang meletakkan Bunga sebagai calon Juara. Ia adalah suatu pengiktirafan buat komposer baharu seperti saya.

“Saya sangat gembira dengan usaha Ara menyampaikan lagu itu dengan baik dan ia mendapat sambutan memberangsangkan.

“Biar apapun, pucuk pangkal adalah usaha penyanyi itu sendiri. Jika penyanyi tidak suka sesebuah lagu dan tidak dapat diluahkan melalui persembahan, ia tidak akan sampai ke hati penonton.

“Saya akan terus memberi sokongan moral kepada Ara,” katanya kepada BH Online.

Lagu Bunga ciptaan Akim bersama Laq dan Kadok, bersaing dengan 11 lagu lain di pentas AJL 33 yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada jam 9 malam ini.

Sebelum ini, Bunga diumumkan sebagai lagu terbaik pada minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33 (SMFF33).

Pada edisi ke-32, Ara bertanding dengan lagu Warkah Untukku, juga ciptaan Akim atau Hang Nadim dan Laq. Namun, ketika itu, Ara gagal beraksi dengan baik akibat masalah kesihatan.

Pada edisi terbaru, selain Bunga, turut berpeluang mencipta tuah adalah lagu berjudul sama, Bunga nyanyian Altimet (bakal dipersembahkan oleh De Fam); Jatuh Bangun (Haqiem Rusli menampilkan Amanra); Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer) dan Hajat (Hael Husaini),

Turut bersaing Semakin dendangan Siti Sarah; Kau Pun Sama (Syamel); Sampai Bila (Misha Omar); Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah); Luluh (Khai Bahar); Di Matamu (Sufian Suhaimi); dan Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X