Isnin, 4 Februari 2019 | 9:01am
Sissy meluahkan rasa kasih terhadap ayah dalam single keenam berjudul Pesanan Ayahanda. - Foto Instagram Sissy Imann

Sissy Imann hadiah lagu buat ayah

KUALA LUMPUR: Melihat dirinya rapat dengan ayah, Sissy Imann bertuah apabila lagu ciptaannya bersama empat komposer lain diangkat sebagai single keenam, sekali gus menjadi karya paling dekat dalam hatinya.

Single Pesanan Ayahanda yang berentak bossanova dan pop dihasilkan Sissy bersama Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo.

Sissy memberitahu, single itu ditujukan khas buat ayah tersayang, Mohammad Kamil Moustaffa dan lelaki lain yang bergelar bapa.

“Selalunya, lagu untuk ibu lebih banyak dicipta manakala karya untuk bapa, ibarat boleh dikira dengan jari.

“Saya sebenarnya ada dua lagu yang berkisar bapa sebagai subjek. Namun, selepas menimbang pelbagai faktor, Pesanan Ayahanda akhirnya dipilih sebagai single keenam.

“Cuma saya tak sangka, dalam banyak topik atau subjek diketengahkan, kisah bapa menambat hati penerbit dan komposer,” katanya kepada BH Online.

Sissy berkata, peluang bekerja dengan Faizal, Mike, Ezra dan Romeo sangat berharga.

“Bekerja dengan mereka dan berkongsi idea, momen itu umpama peluang bersama pasukan impian yang sudah lama dinanti-nantikan.

“Faizal adalah idola saya... Biarpun kami berbeza genre dalam berkarya, kredibiliti dirinya sebagai artis dan komposer cukup dikagumi,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Sissy yang sudah lima tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, mengesahkan dirinya diurus Syarikat Faithful Music milik Faizal, sejak Oktober lalu.

“Saya optimis dalam mendapat ‘angin’ baharu bersama Faithful Music.

“Memang ada yang mengusik, mengapa Faizal yang pernah dianggap punca saya tersingkir daripada program realiti, Big Stage menjadi pilihan.

“Bagi saya, semuanya soal jodoh,” katanya yang menampilkan ibu bapanya dalam video muzik Pesanan Ayahanda yang boleh ditonton di YouTube dan pelantar digital terpilih.

Sissy yang sebelum ini menghasilkan single iaitu Jatuh, Benar Ku Tak Bohong, Entah Apa Rasa dan Mungkin Kamu, juga dikenali sebagai guru muzik.

Berita Harian X