Isnin, 4 Februari 2019 | 11:31am
Tya yang hamil enam bulan, berkongsi panduan menjadi ibu melalui Instagram. - Foto Instagram Tya Ariffin

Jom jadi ibu hebat - Tya Ariffin

KUALA LUMPUR: Sering ditanya tip menjadi ibu yang baik sejak kali pertama hamil, pelakon Tya Ariffin akhirnya membuka akaun Instagram bagi berkongsi petua.

Menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, akaun Instagram di bawah nama @journeywithtya menjadi penghubung dirinya dengan pengikut terutama yang baru bergelar isteri atau ibu.

“Saya bukanlah doktor atau pakar, tapi saya ada aset berharga iaitu pengalaman.

“Jadi, saya wujudkan semua ini sebagai ruang berkongsi pengalaman. Hamil anak sulung hingga bersalin dan melalui proses lain seperti menyusu badan, semuanya membuatkan saya belajar.

“Sejak kali pertama menimang cahaya mata, ramai pengikut bertanya tip seperti cara memberi susuan ibu, menambah bekalan susu dan bermacam-macam perkara lain.

“Sebelum ini, saya hanya berkongsi ilmu dengan keluarga rapat dan alhamdulillah, membuahkan hasil. Jadi, kenapa saya tidak mahu menghebahkannya kepada umum,” katanya kepada BH Online.

Tya yang hamil enam bulan, bernikah dengan Asyraf Khalid pada 2015 dan dikurniakan anak sulung, Arif Jiwa yang bakal berusia dua tahun pada 31 Mac depan.

Tya baru muncul dengan filem Preman Pensiun di Indonesia.

Tya berharap perkongsian yang dibuat melalui akaun Instagram itu diharap dapat memberi ilmu kepada kaum Hawa terutama mereka yang kali pertama hamil.

“Insya-Allah, kita sama-sama jadi wanita dan ibu terbaik untuk anak tersayang. Menjadi ibu adalah fasa yang indah bagi wanita. Jadi, kita lalui dengan penuh rasa cinta,” katanya yang dijangka melahirkan anak keduanya, Mei depan.

Berita Harian X