Isnin, 4 Februari 2019 | 7:29pm
Wany dan Ernie mengesat air mata ketika menyaksikan Sufian menyanyikan lagu Di Matamu pada AJL 33, malam tadi. - Foto Eizairi Shamsudin
Wany dan Ernie mengesat air mata ketika menyaksikan Sufian menyanyikan lagu Di Matamu pada AJL 33, malam tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

Kenapa Wany, Ernie menangis?

KUALA LUMPUR: Aksi penuh penghayatan dan jalan cerita diterjemahkan Sufian Suhaimi ketika mendendangkan lagu ‘berhantu’, Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, malam tadi, mengusik emosi Wany Hasrita dan Ernie Zakrie hingga menitiskan air mata.

Foto dua penyanyi itu menyapu air mata ketika menyaksikan Sufian ‘bercerita’ melalui lagunya, menjadi antara momen menyentuh hati yang dilihat dalam acara yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil itu.

Tanpa mahu mengaitkan persembahan Sufian dengan kisah peribadi penyanyi terbabit, Wany dan Ernie masing-masing berpendapat dia layak merangkul trofi Persembahan Terbaik.

Wany berkata, dia mula teruja apabila Sufian memulakan lagu dengan alunan syair.

“Berdasarkan keseluruhan konsep yang dipersembahkan, Sufian berjaya membuatkan penonton merasai emosi sedih yang dilaluinya.

“Seorang senior dalam industri pernah beritahu, walaupun vokal memainkan peranan penting, namun faktor persembahan harus dititikberatkan.

“Persembahan yang bagus adalah apabila berjaya meninggalkan kesan kepada penonton,” katanya kepada BH Online.

Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, penggunaan props yang ada kaitan dengan jalan cerita membuatkan persembahan Sufian menonjol.

Berkongsi pendapat yang sama, Ernie berkata, visual dan emosi yang diterjemahkan penyanyi berkaca mata berkenaan ‘bersatu’ sekali gus membuatkan penonton larut dalam kesedihan yang digambarkan.

“Boleh dikatakan rata-rata finalis mempamerkan persembahan terbaik.

“Namun, rezeki lebih berpihak kepada Sufian. Dia berjaya membawakan lagu itu dengan penuh perasaan.

“Fokus saya hanyalah kepada apa yang disampaikan tanpa mengaitkannya dengan kisah peribadi,” katanya yang popular dengan lagu Ku Bersuara ini.

Sementara itu, tidak sampai 24 jam ditayangkan di YouTube TV3 Malaysia, video persembahan Sufian mencatat tontonan tertinggi melebihi 1.7 juta sehingga artikel ini disiarkan.

Berita Harian X