Selasa, 5 Februari 2019 | 11:01am
Dynas dijangka melahirkan anak ketiga, Mei depan. Foto IG Dynas Mokhtar

Dynas rehat dua bulan selepas bersalin

KUALA LUMPUR: Datin Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dynas menjangka hanya boleh berehat dua bulan selepas melahirkan anak ketiga, Mei depan.

Dynas memberitahu, kesibukan memperincikan pembukaan kafe butik selain perniagaan baharu membekalkan pes makanan memerlukan dirinya terus aktif selepas bersalin.

“Ketika trimester pertama saya alami alahan yang agak teruk hingga sukar makan atau memasak akibat tidak tahan bau.

“Namun, sekarang, saya bersyukur apabila sudah kembali bertenaga. Saya bagai mendapat kekuatan luar biasa dan mampu melakukan pelbagai perkara terutama merencana perniagaan baharu,” katanya kepada BH Online.

Dynas berkata, mengikut cadangan awal, dia dan suami mahu mengusahakan restoran sendiri serta mengedarkan pes air tangan ibu mentua yang sudah ada penggemarnya, tahun ini.

“Saya anggap semua ini rezeki anak memandangkan keluarga kecil kami bakal bertambah meriah dengan kehadiran ‘orang baharu’,” katanya yang masih ligat berlakon.

Tidak mampu menyembunyikan rasa teruja menanti Mei, aktres berusia 35 tahun yang juga isteri kepada Datuk Mohamad Shazrik Che Mohd Din, sudah membuat persiapan menyambut si kecil.

Namun, tambahnya, buat masa ini, dia dan suami belum tahu jantina cahaya mata mereka walaupun sudah menjalani teknik imbasan.

“Doktor beritahu ‘baby’ sorokkan jantina. Mungkin mahu bagi kejutan pada kami. Tidak mengapa, biar kita tunggu kelahirannya nanti,” katanya.

Dynas bertemu jodoh dengan Shazrik pada April tahun lalu selepas empat tahun menjadi ibu tunggal kepada Khayra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7.

Berita Harian X