Jumaat, 8 Februari 2019 | 3:44pm
KOMPOSER yang juga ketua juri AJL 33, Azmeer.
SUFIAN ketika menjayakan konsert Prelude AJL 33 di KL Live. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Saya tak cakap suara Sufian 'kemek''

KUALA LUMPUR: Ketua Juri Anugerah Juara Lagu (AJL) 33, Azmeer, menafikan beliau menyebut nama penyanyi Sufian Suhaimi sebagai finalis bersuara 'kemek' seperti yang tular dalam media sosial, sejak beberapa hari lalu.

Terkejut apabila isu berkenaan tersebar, Azmeer atau nama penuhnya, Mohd Azhar Abu Bakar, 53, memberitahu, penjelasan perlu dibuat kerana ia membabitkan soal profesionalisme dirinya dan maruah penyanyi Di Matamu itu.

“Ketika membuat teguran dalam sidang media, Ahad lalu, saya bercakap secara umum tanpa ada menyebut nama mana-mana penyanyi. Malah, tiada temu bual susulan dibuat mana-mana media selepas sidang media berakhir.

“Apabila perkara ini timbul, saya kasihankan Sufian... Perkara ini membabitkan maruah dirinya.

“Saya diberitahu, Sufian sangat sedih dengan isu ini. Jadi, kekeliruan ini perlu diperbetulkan kerana ia turut memberi impak negatif terhadap profesionalisme saya. Ia dilihat seperti saya sengaja mahu memalukan Sufian apabila mengaitkan namanya dengan isu itu," katanya kepada BH Online.

Tambah Azmeer, Sufian bukan penyanyi yang dimaksudkan kerana persembahan artis itu secara keseluruhan berjaya memikat hati juri.

“Secara peribadi, saya berpendapat Sufian menyanyi dengan baik pada malam itu. Harus diingat, vokal juga adalah elemen penting dalam menilai sesebuah persembahan.

“Jika vokal Sufian tidak bagus, macam mana dia boleh menang kategori Persembahan Terbaik?” katanya.

Berikutan isu yang tular itu, Azmeer diselar peminat Sufian, termasuk pihak pengurusan penyanyi berkenaan yang berpendapat, perkara terbabit tidak sepatutnya dilakukan oleh ketua juri.

Sementara itu, pihak pengurusan penyanyi terbabit dalam kemas kini terbaru di Facebook menyatakan, isu terbabit sudah selesai.

“Perkara itu timbul apabila laporan oleh beberapa media menyalah tafsir maksud sebenar ketua juri. Ada bukti menyatakan tiada nama disebut pada sidang media AJL 33, baru-baru ini.

“Saya juga bagi pihak label memohon maaf jika teguran saya sebelum ini di luar konteks yang sebenar,” kata pengurusnya, Mahadhir Mohamad.

Pada AJL 33, Sufian yang mendendangkan lagu cinta melankolik, Di Matamu, memenangi kategori Persembahan Terbaik, mengalahkan 11 calon lain.

Setakat ini, video persembahan Sufian pada pertandingan berkenaan yang dimuat naik di YouTube sudah ditonton hampir lima juta kali.

Berita Harian X