Jumaat, 8 Februari 2019 | 6:06pm
KOMPOSER dan penyanyi, Ajai. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Abang sulung Ajai meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Ajai, kehilangan abang sulungnya, Mohd Feroz Maas, 49, yang menghembuskan nafas terakhir berikutan kanser prostat, jam 10.27 pagi tadi.

Ajai atau Mohd Faizal Maas, berkata Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya sejak sebulan lalu selepas mengadu sakit pada bahagian perut.

“Boleh dikatakan sebelum ini keadaan kesihatannya pada tahap terkawal walaupun berdepan masalah kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Susulan dua penyakit itu, dia kerap menjalani pemeriksaan berkala, namun tidak sangka sakit perut yang dialami awal tahun ini petanda kanser.

“Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan), doktor mengesahkan wujudnya sel kanser yang sudah merebak, selain kesan bengkak dan bernanah.

“Arwah dikomakan sejak 9 Januari lalu. Apa pun, kami reda kerana Allah lebih sayangkan dirinya. Doakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya.

AJAI memaklumkan berita sedih kematian abang sulungnya, Mohd Feroz Maas, di Instagramnya, hari ini. - Foto IG Ajai

Menurut Ajai, 42, arwah yang meninggalkan seorang isteri baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-49 pada 5 Februari lalu.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya, kira-kira jam 3 petang tadi.

Berita Harian X