Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:39pm
PENYANYI, Sufian Suhaimi, enggan memanjangkan isu dirinya dikatakan bersuara ‘kemek’. - Foto Akma Bakar

Sufian anggap suara unik, hargai anugerah Tuhan

KUALA LUMPUR: “Saya pernah menerima pelbagai gelaran yang lebih teruk sebelum ini, jadi saya tidak berkecil hati dengan isu suara ‘kemek’.”

Demikian ulasan penyanyi sensasi, Sufian Suhaimi, 26, terhadap isu hangat yang dikaitkan dengan dirinya, ketika ini.

"Ada banyak percanggahan mengenai isu terbabit dan Azmeer sendiri sudah menafikan beliau ada membuat kenyataan sedemikian.

“Saya sendiri enggan mengulas perkara ini panjang lebar, tetapi saya ingin katakan, suara adalah satu instrumen. Dalam sesebuah instrumen itu pula ada pelbagai nada yang berbeza.

“Saya tidak berasa kerdil dengan suara sebegini. Bahkan, saya bukan sekadar menghargai suara yang dikurniakan, sebaliknya saya menyifatkannya sebagai satu keunikan.

"Tidak ramai orang yang mempunyai ‘tone’ suara seperti saya. Jadi, saya menggunakan kelebihan yang dianugerahkan kepada saya dengan sebaiknya," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, beberapa media dilaporkan menyiarkan berita kononnya ketua juri Anugerah Juara Lagu (AJL) 33, Azmeer, menyebut nama Sufian sebagai finalis bersuara 'kemek'.

Bagaimanapun, komposer terkemuka berkenaan membuat penafian berhubung perkara terbabit, hari ini, dan pihak pengurusan Sufian juga menganggap isu itu sudah selesai.

Pada AJL 33, Sufian diumumkan sebagai pemenang trofi Persembahan Terbaik, seterusnya menyaksikan video nyanyiannya pada acara berkenaan menjadi ‘trending’ di YouTube.

Sehingga kini, video nyanyian ‘live’ Di Matamu pada AJL 33 yang mula dikongsi pada 3 Februari lalu sudah ditonton lebih lima juta kali.

Beberapa pengulas YouTube luar negara seperti Indonesia, Filipina dan Russia turut memuat naik video reaksi masing-masing terhadap persembahan penyanyi itu.

Kumpulan Global Tout Idol (GTI) dari Korea Selatan juga menyanyikan kembali lagu berkenaan.

Kata Sufian, sehingga kini, dia masih dibanjiri ucapan tahniah daripada orang ramai atas kejayaannya pada AJL 33.


PENYANYI Di Matamu berkongsi penghargaan buat peminat, hari ini, apabila Instagramnya mencatat sejuta pengikut. - Foto IG Sufian Suhaimi

Dalam perkembangan lain, Sufian meluahkan penghargaan kepada peminat apabila laman sosial Instagram miliknya mencatat angka sejuta pengikut, semalam.

"Sudah tentu saya gembira dengan pencapaian itu dan saya kira, ia boleh dianggap sebagai penanda aras baharu untuk saya. Mencapai jumlah pengikut sebanyak tujuh angka bukannya perkara mudah, Berikutan itu, saya berterima kasih kepada pentas AJL.

"AJL adalah faktor utama yang menaikkan nama Sufian Suhaimi dan secara tidak langsung, saya rasa bertanggungjawab untuk memberikan contoh yang baik sebagai seorang figura awam," katanya yang gembira apabila 2019 menyaksikan permulaan baik untuk dirinya.

Berita Harian X