Sabtu, 9 Februari 2019 | 8:43pm
PELAKON, Nadia Brian, menerima kejutan terindah ketika bercuti di Paris. - Foto ihsan Nadia Brian

Nadia terima lamaran kekasih di Paris

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian, mengaku terkejut apabila dilamar oleh kekasihnya, Muizz Nasruddin, di Paris dengan berlatarkan pemandangan Menara Eiffel.

Bersyukur apabila hubungan mereka semakin menuju ke fasa lebih bermakna, aktres terbabit kini mengharapkan penamat yang indah.

“Jujurnya, saya sangat terkejut dan pada masa sama terharu dengan kejutan manis dilakukannya. Saya selalu melihat wanita lain menerima kejutan manis atau menonton detik indah sedemikian di kaca televisyen, kini saya pula yang mengalaminya.

“Saya sangat bersyukur dan kini berharap semoga semuanya menuju ke penamat yang indah.

“Cuma, buat waktu ini, apa yang boleh saya katakan, tarikh untuk kami disatukan bergantung kepada rezeki. Jika diikutkan perancangan, ia mungkin diadakan pada awal 2020 atau secepat-cepatnya penghujung tahun ini. Doakan yang terbaik buat kami,” katanya kepada BH Online ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Semalam, Nadia berkongsi gambarnya menerima lamaran Muizz di kota cinta itu di laman sosial Instagramnya.

Perkongsian terbabit tentu sahaja mendapat perhatian ramai pengikutnya, termasuk teman artis.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengenali kekasihnya menerusi teman baik yang juga pelakon, Ainul Aishah, kira-kira dua tahun lalu.


NADIA mengharapkan penamat yang baik dalam hubungan.

“Ketika itu, kami hanya berkawan. Saya sendiri tidak mahu memberikan sebarang harapan dan pada masa sama sibuk dengan aktiviti lakonan.

“Namun, pada penghujung tahun lalu, kami kembali rapat. Dia juga tidak pernah berputus asa untuk menambat hati saya.

“Saya dapat lihat kejujurannya, malah dia juga sanggup berjumpa keluarga saya,” katanya yang masih berada di Paris ketika dihubungi.

Menurut Nadia, dia bercuti di kota terkenal itu bersama keluarga cinta hatinya.

“Alang-alang sudah berada di sini, kenapa tidak diadakan sekali sesi fotografi praperkahwinan? Gambar ini boleh juga digunakan untuk poster atau kad kahwin kami nanti,” katanya.

Berita Harian X