Ahad, 10 Februari 2019 | 11:00am
PELAKON, Nabila Huda, ketika menghadiri sidang media teater muzikal OlaBola musim kedua di Istana Budaya, Januari lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad
PELAKON, Nabila Huda, ketika menghadiri sidang media teater muzikal OlaBola musim kedua di Istana Budaya, Januari lalu. - Foto Syarafiq Abd Samad

Nabila rindu nak jamah nasi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda, sanggup menurunkan berat badan demi menjayakan watak Dumilah dalam pementasan, OlaBola The Musical musim kedua.

Katanya, dia berbuat demikian bukan sekadar untuk berasa lebih selesa apabila beraksi dalam produksi terbitan Enfiniti Productions itu, malah bagi menambahkan lagi stamina.

“Alhamdulillah, sejak sibuk memulakan latihan pementasan ini hampir sebulan lalu, saya sudah nekad untuk mengurangkan berat badan.

“Ketika ini pun sudah ada yang memuji badan saya semakin langsing, padahal baru sedikit berat yang hilang,” katanya kepada BH Online.

Menurut Nabila, dia tidak menyentuh nasi bagi mendapatkan berat ideal.

“Ramai yang tahu, saya memang kaki makan, termasuk nasi. Namun, bagi menjayakan pementasan ini, saya kena tolak nasi ke tepi. Alhamdulillah, daripada 65 kilogram (kg), berat saya kini turun kepada 58 kg. Proses penurunan terbabit mengambil masa 25 hari.

“Semua ini saya lakukan bukan sekadar untuk kelihatan cantik di atas pentas, tetapi juga mengambil kira faktor stamina. Kalau badan berat, nanti saya akan mudah mengah.

“Pada masa sama, latihan turut menuntut saya banyak menari. Sedikit sebanyak ia memudahkan lagi usaha menurunkan berat badan,” katanya yang pernah membintangi teater Bawang Putih Bawang Merah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Lela Manja.

Secara berseloroh Nabila berkata, dia tidak sabar untuk kembali menjamah hidangan kegemaran sebaik sahaja selesai pembabitannya dalam teater muzikal berkenaan.

“Saya rindu untuk menikmati pelbagai jenis makanan seperti biasa. Sekarang, memang saya kena kawal nafsu makan. Jadi, tidak sabar rasanya nak menunggu kerja lakonan ini selesai.

“Bagaimanapun, selepas pementasan ini, saya akan terus ke lokasi penggambaran drama, KL Gangster Underworld musim kedua. Dalam drama terbabit, saya memang kena berlawan kerana ia sebuah genre aksi,” katanya.

Selain Nabila, teater arahan Puan Seri Tiara Jacquelina itu turut dibintangi oleh Iedil Putra, Brian Chan, Luqman Hafidz, Abi Manyu, Jian Wen, Melissa Ong, Douglas Lim dan Altimet.

Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 18 Februari ini.

Berita Harian X