Selasa, 12 Februari 2019 | 1:53pm
ROZITA melupakan hasrat untuk menjadi penyanyi. - Foto IG Rozita Che Wan

Che Ta batal hasrat jadi penyanyi

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan, melupakan hasratnya untuk menceburkan diri dalam bidang nyanyian.

Selesa mengukur baju di badan sendiri, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata, dia tidak perlu melakukan sesuatu yang bukan menjadi minatnya.

Kata bintang Kiah Pekasam itu, selain menumpukan kepada perniagaan, cukuplah sekiranya dia aktif dalam lakonan dan pengacaraan.

“Selepas difikirkan semula, saya rasa tak perlu untuk menjadi penyanyi. Saya memang berasakan ada bakat terpendam dalam nyanyian, cuma mengenangkan suara adalah aurat, jadi saya tak boleh berkompromi.

“Biarlah saya menyanyi di pusat karaoke atau di rumah sahaja. Kalau gian sangat, saya boleh menyanyi depan suami,” katanya.

Menurut Che Ta juga, dia tidak mahu mengundang kecaman andainya membabitkan diri secara serius dalam bidang seni suara.

Awal tahun lalu, Rozita pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kesungguhannya untuk menjadi penyanyi selepas didekati komposer, Hazami. Malah, isteri kepada Zain Saidin ini juga mengakui pernah ditawarkan peluang nyanyian oleh Eddie Hamid dan Imran Ajmain.

Dalam pada itu, Che Ta, 45, turut ditanya mengenai status dimuat naik di IG Story di Instagram miliknya, semalam. Dalam perkongsian itu, dia mengulas mengenai seorang pereka fesyen yang menceburi bidang nyanyian.

KOMEN Rozita mengenai seorang pereka yang menceburkan diri dalam bidang nyanyian seperti dikongsi di IG Story laman sosial Instagramnya, semalam.

Sekalipun tidak menyatakan dengan jelas identiti pereka fesyen terbabit, ramai yang meneka, status itu ditujukan kepada Ezuwan Ismail. Tambahan pula Ezuwan akan melancarkan single berjudul Semalam Sahaja bersama kumpulan trio pada 14 Februari ini.

“Saya lihat komen itu bersifat umum. Saya pun tak sanggup nak jadi penyanyi. Jadi, saya berasakan pereka fesyen berkenaan juga perlu terbuka dengan kritikan awal ini dan tak perlu melatah.

“Namun, pujian harus diberikan kepada pereka fesyen itu yang berani meneroka bidang lain.

“Saya pula tidak perlu menyebut dengan jelas siapa pereka fesyen itu. Lambat laun orang akan tahu juga,” katanya.

Berita Harian X