Khamis, 14 Februari 2019 | 9:01am
EZUWAN (tengah) bersama E1 satukan elemen muzik dan lagu menerusi single pertama, Semalam Saja. Foto IG E1 Band

'Nak kecam atau kutuk, kami tak kisah'

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail tidak kisah dikatakan syok sendiri, malah bersedia dikecam netizen apabila merakamkan single, Semalam Saja.

Ezuwan yang menyertai trio E1 Band berkata, mereka tidak hadir kosong dengan hanya bersandar kepada rupa dan gaya semata-mata.

Selain mempertaruhkan bakat, E1 Band katanya, turut menyatukan elemen muzik dan fesyen yang sudah lama dipraktikkan penyanyi antarabangsa.

“Lady Gaga dan Sia adalah antara penyanyi yang mengetengahkan konsep itu. Mungkin kerana masih baharu di sini, jadi konsep yang cuba E1 Band ketengahkan belum jelas di mata ramai.

“Latar belakang kami sama iaitu fesyen kerana dua anggota E1 Band yang lain ialah model. Namun, kami juga ada suara dan bakat, bukan menjual rupa semata-mata,” katanya.

Sudah lali dengan kecaman, Ezuwan yang pernah menghasilkan rekaan untuk ramai artis terkenal akur, tidak semua pembaharuan yang cuba dibawa akan diterima peminat muzik.

“Apa juga yang dibuat, pasti ada pro dan kontra. Itu sudah resam dan jika ada yang mahu mengutuk, terserah...

“Kami masuk bidang seni untuk memeriahkan industri, pada masa berkongsi bakat yang ada. Sebelum merakamkan single, saya sempat menyertai kelas vokal.

“Guru vokal memaklumkan, suara saya ada potensi, cuma perlu digilap dan sentiasa berlatih,” katanya.

Ezuwan juga menegaskan, E1 Band bukan penyanyi bermusim yang merakamkan lagu kerana mengikut aliran semasa.

“Kami memang serius menyanyi dan projek ini untuk jangka masa panjang. Selepas ini, kami akan kembali ke studio menyiapkan rakaman lagu raya, disusuli single ketiga.

“Besar harapan saya percubaan pertama ini akan membawa E1 Band melangkah jauh. Seperti penyanyi lain, saya juga ingin melihat E1 Band beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu akan datang,” katanya yakin.

Semalam Saja dihasilkan komposer yang juga penyanyi terkenal, Asfan Shah dan dilancarkan di semua pelantar digital hari ini.

Berita Harian X