Sabtu, 16 Februari 2019 | 11:01am
ALTIMET bakal beraksi dalam konsert terakhir di Dewan Merdeka, PWTC, malam ini. Foto Aziah Azmee

Altimet harap kemunculan terakhir sentuh hati peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Altimet berharap, kemunculan terakhirnya pada konsert The Last Altimet Show, malam ini akan menyentuh hati penonton.

Mengakui sedih untuk berpisah dengan peminat, Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 40, bersyukur kerana segala yang dirancang akhirnya dapat direalisasikan.

Penyanyi lagu Bunga itu berkata, dia berusaha memberikan yang terbaik selepas 10 tahun menyimpan impian beraksi dalam konsert di Dewan Merdeka,

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu.

“Sedih memikirkan ini adalah kemunculan terakhir saya menghiburkan peminat. Sejak 10 tahun bergerak solo, saya sentiasa menyimpan impian untuk mengadakan konsert dan bangga apabila perancangan itu menjadi kenyataan.

“Saya akan membawa peminat mengimbau perjalanan seni saya bermula dari 2008 dan harap ia dapat menyentuh hati semua,” katanya.

Konsert itu juga menjadi lambang penghargaan Altimet terhadap keluarga,

sahabat dan peminat yang sentiasa bersamanya selama dikenali sebagai penyanyi.

Altimet berkata, dia juga gembira apabila tiket konsert itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dan berharap ia akan habis dijual menjelang detik akhir.

Pada konsert itu, Altimet akan mempersembahkan lebih 20 lagu, dipetik daripada album pertama hingga sentuhan terbaru.

“Saya juga akan menyanyikan antara lima dan enam lagu baharu yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini, termasuk memperkenalkan video muzik terbaru,” katanya.

Selain Altimet, konsert itu juga menghimpunkan rakan seperjuangannya termasuk Noh Salleh, Awi Rafael, Hazama, Joe Flizzow, Aizat Amdan, Aman Ra, Ila Damia, Amir Jahari, Zizi Kirana, SoneOne, Tomok dan Salam Musik.

Lebih istimewa, konsert itu juga turut menampilkan kumpulan lamanya, Teh Tarik Crew.

Berita Harian X