Ahad, 17 Februari 2019 | 11:31am
SELAIN nyanyian, Anuar juga berbakat dalam ciptaan lagu. - Foto Instagram Anuar Hamizan

Anuar tak mengalah lagu pertama gagal menyerlah

KUALA LUMPUR: Berbanding beberapa bakat baharu lain yang mencipta populariti dalam sekelip mata, nama Anuar Hamizan, 23, mungkin masih jauh ketinggalan di belakang.

Biarpun muncul dengan lagu berjudul Terbang Melayang sejak awal tahun lalu, single dendangan artis naungan Asia Empire Record ini lambat mendapat perhatian peminat.

Video muzik lagu terbabit juga hanya ditonton lebih 25,000 kali sejak dikongsi di laman YouTube pada 19 Januari 2018.

“Namun, saya tidak mudah mengalah. Saya sebaliknya percaya, semua pengalaman dikutip selama ini menjadi permulaan yang mematangkan lagi diri ini sebagai anak seni.

“Saya takkan berundur, apatah lagi minat terhadap seni suara sudah bercambah dalam diri sejak kecil. Saya mula menyanyi pada usia lapan tahun, termasuk di kenduri kahwin dan majlis makan malam,” katanya yang turut menjadikan pertandingan nyanyian di sekolah dan sekitar negeri kelahirannya, Perlis, sebagai gelanggang mengasah bakat.

Cuma buat waktu ini, katanya, dia belum mampu menjadikan nyanyian sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Dalam usaha mengejar impian seni, saya masih mempunyai pekerjaan tetap di kampung halaman. Sudah empat tahun saya bekerja sebagai tukang gunting rambut di sana.

“Jadi, buat waktu ini saya memang perlu berulang alik antara Perlis dan Kuala Lumpur jika ada undangan persembahan ataupun promosi single.

“Sekarang, saya tidak boleh bergantung harap pada muzik semata-mata. Saya perlu memiliki kerja tetap untuk menampung kehidupan. Saya kena bersikap realistik dalam hal ini,” katanya yang sudah berkahwin sejak setahun lalu dan mempunyai anak berusia empat bulan.

Jejaka berasal dari Behor Lateh, Kangar, ini juga berbakat sebagai penulis lagu.

“Saya sendiri yang mencipta lagu Terbang Melayang, begitu juga dengan single seterusnya, Tak Pernah Tua. Insya-Allah, lagu baharu saya itu akan dilancarkan dalam masa terdekat. Sehingga kini, proses rakamannya sudah hampir siap,” katanya yang cenderung kepada genre balada dan pop.

Menjadikan Jessie J, Sam Smith, Rita Ora dan Adele sebagai rujukan, Anuar percaya tuahnya dalam dunia seni akan tiba juga walaupun terpaksa berjuang jauh di utara.

“Sebagai orang baharu, saya akan cuba memastikan setiap karya dihasilkan lebih berkualiti, mempunyai kelainan dan disokong melodi lebih ke depan.

“Kalau boleh, saya mahu dikenali sebagai penyanyi dan komposer pada masa sama. Siapa tahu jika suatu hari nanti saya juga boleh menyerahkan lagu kepada artis lain pula,” katanya.

Berita Harian X