Ahad, 17 Februari 2019 | 12:27pm
Altimet menganggap Konsert The Altimet Show di Dewan Merdeka, PWTC, malam tadi, sebagai momen indah dalam karier seninya. Foto NSTP Halimaton Saadiah.

'Token pun tak nak'

KUALA LUMPUR: Mengotakan janji tidak mahu lagi menyanyi apabila usia menginjak 40 tahun, Altimet menutup tirai persembahan di ibu negara, bersama 20 teman artis yang tidak meminta sesen pun daripada rapper dan komposer berkenaan.

Tampil dalam beberapa segmen pada konsert The Last Altimet Show di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi, Altimet terharu rakan-rakan artis tidak bertanya soal bayaran.

“Saya hanya mampu memanjat kesyukuran kerana apa yang dirancang sejak tiga tahun lalu, akhirnya direalisasikan.

“Sangat terharu kerana rakan-rakan artis tidak bertanyakan soal bayaran. Malah, ada yang cakap, tak nak duit tapi mahu menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

“Saya mahu beri mereka token (bayaran), mereka cakap tak payah,” katanya pada sidang media selepas konsert berkenaan, berakhir.

Pada konsert itu, Altimet yang mengumumkan ‘persaraan’ daripada dunia nyanyian, menyuntik emosi lebih 5,000 peminat yang memberi sokongan kepadanya.

Paparan video ucapan ibu tersayang, Jamalah Agil Alsagoff yang bercerita hobi Altimet yang suka membaca dan membuat hal sendiri sejak kecil, menyentuh hati peminat.

Antara teman seperjuangan Altimet yang beraksi di konsert terakhir itu adalah Joe Flizzow, Sonaone, Aman Ra, Aizat Amdan, Hazama dan Adeep. Tidak ketinggalan, Ila Damiaa, Noh Salleh, Zizi Kirana dan Salam Musik

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad bersyukur konsert itu berjaya, malah dianggap sebagai memori terindah dalam karier seninya.

Namun, ditanya keputusan bekas anggota Teh Tarik Crew yang pernah disertainya, enggan tampil sama di konsert berkenaan, Altimet berkata:

“Ada antara mereka tidak mahu buat persembahan... Saya akur. Selepas 10 tahun bergerak solo, hubungan saya dengan bekas anggota Teh Tarik Crew masih baik.

“Saya tahu, ada yang cakap, selepas kami bawa haluan masing-masing, hubungan jadi keruh. Malah, ada yang dakwa kami bersengketa.

“Sedangkan kami masih berhubung. Pada masa sama, kami bertemu dalam acara tertentu seperti majlis Aidilfitri,” kata penyanyi lagu Bunga dan Amboi itu.

Ditanya mengapa konsert itu dianjak kepada malam tadi, sedangkan dirancang pada bulan kelahiran yang ke-40, November lalu, Altimet berkata:

“Saya minta maaf... Ada beberapa sebab hingga konsert dianjak. Apa yang berlaku, saya melancarkan album terakhir yang berjudul ‘0’, Disember lalu.

“Saya buat keputusan memasarkan album terlebih dulu diikuti konsert diadakan. Agak mustahil untuk melakukan dua perkara serentak.

“Jadi selepas dipertimbangkan, saya fikir tak perlulah terburu-buru,” katanya yang akan menumpukan perhatian kepada kerja belakang tabir termasuk berlakon dan mencipta lagu untuk penyanyi lain.

Berita Harian X