Khamis, 21 Februari 2019 | 11:01am
ANIS tidak terkesan komen negatif netizen gara-gara foto mesra bersama suami di laman sosial. Foto IG Anis Al Idrus

'Mereka tunggu saja kami buat silap untuk kecam'

KUALA LUMPUR: “Saya tahu ramai akan tanya, kenapa perlu memuat naik gambar mesra seperti itu walaupun sudah disunting.

“Bagi saya, Instagram (IG) itu ibarat diari, jadi terpulang kepada saya untuk memuat naik gambar yang saya suka. Lagipun, foto itu cantik dan mempunyai nilai sentimental,” kata penyanyi dan pelakon, Anis Al Idrus.

Turut dikenali sebagai pengacara, Anis, 30, berkata dia tidak terkesan dengan komen negatif netizen apabila memuat naik foto mesra bersama suaminya, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim di laman sosial.

Baginya, foto itu sudah disunting dengan meletakkan simbol berbentuk hati, namun dia keliru apabila masih ada segelintir pengikut yang sengaja mencari kesalahannya.

Enggan dirinya terganggu dengan komen negatif, Anis bertindak memadam komen yang hanya mengundang perasaan kurang selesa dalam kalangan pengikutnya.

“Memang ada segelintir pengikut yang sentiasa tunggu artis buat hal untuk dikecam. Saya pula sangat positif dalam kehidupan harian dan jika cara mereka mengganggu keharmonian, saya tidak teragak-agak untuk memadam atau menyekat mereka,” katanya.

Sementara itu, menyentuh perkembangan kerjaya seninya, Anis berkata, dia kini bergerak di bawah pengurusan sendiri iaitu Anis Al Idrus Management.

Katanya, dia baru saja selesai menjalani penggambaran untuk program Cerita Bintang dan Resipi VIP Glamor yang akan disiarkan menerusi TV2.

“Saya juga sibuk di lokasi drama, Iktibar arahan Bade Azmi. Alhamdulillah, jadual karier seni saya sangat padat, selain menguruskan perniagaan produk kecantikan dan turban.

“Syukur semuanya berjalan lancar dan doa saya, tahun ini akan memberi rezeki yang lebih untuk dikongsi bersama insan tersayang,” katanya.

Berita Harian X