Ahad, 24 Februari 2019 | 9:00am
DIRA bersama dua permata hatinya, Tengku Anggun Deandra dan Waris Iskandar Andiqa. - Foto ihsan Dira Abu Zahar
DIRA bersama dua permata hatinya, Tengku Anggun Deandra dan Waris Iskandar Andiqa. - Foto ihsan Dira Abu Zahar

Dira makin bahagia dengan kehadiran Waris

KUALA LUMPUR: Tiga tahun selepas kembali menjalani kehidupan tanpa suami, Dira Abu Zahar mengaku dirinya bertambah bahagia dengan kehadiran cinta baharu.

Begitupun, usah lekas membuat tanggapan konon pelakon terbabit kini mempunyai kekasih, sebaliknya Dira berasakan dunianya lebih lengkap apabila mengambil anak angkat, Waris Iskandar Andiqa.

Mula menjaga si comel terbabit sejak empat bulan lalu, pelakon Kimchi Untuk Awak ini berkata, kehidupannya kini hampir berubah sepenuhnya.

“Kehidupan saya sekarang semakin baik. Saya juga masih giat dalam dunia perniagaan dan penerbitan, di samping aktif melakukan kerja kemasyarakatan.

“Bukan setakat itu, hidup saya turut dirasakan semakin indah dengan kehadiran Waris. Sesibuk mana pun jadual kerja setiap hari, saya dan anak, Tengku Anggun Deandra, tidak boleh melepaskan peluang bermanja dengannya.

“Kami berdua amat bersyukur kerana akhirnya rumah kembali terisi dengan ‘lelaki’ yang sangat kacak dan paling baik,” kata Dira atau nama penuhnya Khaidhirah Abu Zahar, 34.

Dengan kehadiran Waris juga, ujar Dira, anak perempuannya tidak lagi kesunyian.

“Sebelum ini, Anggun memang rasa terlalu sunyi kerana kebiasaannya saya lewat pulang ke rumah. Jadual kerja menuntut saya berada di luar hampir setiap hari. Hujung minggu pula biasanya dipenuhi dengan pelbagai program di kampung.

“Anggun juga kini dilihat semakin bertanggungjawab memainkan peranan sebagai kakak kepada adiknya itu. Menginjak usia 12 tahun, memang terserlah dirinya sebagai anak gadis yang kian membesar,” katanya.

Dira yang dua kali berdepan episod keruntuhan rumah tangga berazam untuk membesarkan kedua-dua permata hatinya itu sebaik mungkin.

“Saya akan memastikan keperluan dan kehendak mereka dilayan sama rata. Insya-Allah, saya akan jadi ibu dan bapa terbaik untuk mereka.

“Saya akan cuba mendidik dua anak saya ini dengan secukupnya dan memberikan kasih sayang tidak berbelah bagi buat Anggun serta Waris,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X