Isnin, 25 Februari 2019 | 11:00am
ALIF selesa bergerak solo selepas empat tahun Sleeq berpecah. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sleeq sudah jadi sejarah - Alif

KUALA LUMPUR: Empat tahun bergerak solo selepas Sleeq berkubur pada 2015, Alif mengakui, nama duo yang ditubuhkan bersama sepupunya, Syarif sudah menjadi sejarah.

Penyanyi dan komposer kelahiran Singapura berusia 29 tahun itu berkata, dia juga enggan lagi dikenali sebagai Alif Sleeq, malah tidak mahu nama itu terus mengekorinya.

“Saya bukan membenci Sleeq, tetapi duo itu sudah menjadi sejarah. Saya tidak mahu menoleh ke belakang, malah rasanya Sleeq tidak mungkin dihidupkan semula.

“Tidak dinafikan, ramai peminat kecewa apabila Sleeq dibubarkan kerana sepanjang 10 tahun, banyak karya yang kami hasilkan.

“Keputusan membubarkan Sleeq bukan dilakukan secara terburu-buru. Malah, ia juga bukan disebabkan kami bergaduh atau berselisih faham, sebaliknya sudah tiba masanya kami berdikari,” katanya.

Alif berkata, sejak awal penubuhan lagi, dia dan Syarif hanya memberikan masa selama sedekad untuk bergerak bersama.

“Jujurnya, saya tidak yakin dapat bergerak sendiri kerana sebelum ini, semuanya dilakukan bersama Syarif. Selepas berkahwin, Sleeq berpecah, tetapi saya ada membantu Syarif merakamkan lagu di Singapura.

“Dia bagaimanapun, kini sibuk dengan dunia perniagaan dan nyanyian bukan lagi keutamaannya. Saya pula tidak boleh hidup tanpa muzik.

“Jadi, saya teruskan kerjaya muzik dengan bergerak sendiri,” katanya yang pernah menghasilkan dua album, 6560 dan 6560 (Siri Dua) sebagai penyanyi solo.

Bakal muncul dengan projek khas bersama SonaOne, Alif berkata, dia beralah menerima peluang itu kerana kerjasama mereka tidak bergerak atas nama kumpulan.

Sebagai permulaan, Alif & SonaOne mempertaruhkan lagu Inggeris, Obvious, disusuli single Melayu, Pun Boleh dan Look Around.

“Saya menganggap projek ini sebagai kerjasama dua rakan baik. Bermula dengan menghasilkan lagu secara suka-suka, kami berjaya merakamkan 40 lagu untuk dimuatkan dalam beberapa album.

“Selepas tiga lagu diperkenalkan, kami akan melancarkan album penuh, Detail yang memuatkan 15 lagu pada April ini,” katanya.

Berita Harian X