Isnin, 25 Februari 2019 | 6:03pm
Ratu Rock, Ella mula mempromosikan konsert berkonsepkan ‘unplugged’ di Istana Budaya, bulan depan, dengan menyanyi diiringi 200 pemuzik di ibu negara, hari ini. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ratu Rock, Ella mula mempromosikan konsert berkonsepkan ‘unplugged’ di Istana Budaya, bulan depan, dengan menyanyi diiringi 200 pemuzik di ibu negara, hari ini. Foto NSTP Rohanis Shukri

Ella pecah rekod nyanyi dengan 200 pemuzik

KUALA LUMPUR: Ratu Rock, Ella mencatat rekod baharu dalam dunia persembahan apabila diiringi 200 pemuzik pada acara Ella Kitalah Bintang di The Love @ MATIC, di sini, hari ini.

Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 52, memberitahu, persembahan bagi meraikan pemuzik muda itu dianjurkan sempena Konsert Ella Unplugged In KL, bulan depan.

“Saya tidak terlalu memikirkan untuk memecahkan rekod hingga diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBR).

“Apa yang dibuat, saya hanya mahu mengumpulkan pemuzik muda iaitu pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Saya mahu memberi pengalaman bermain muzik secara langsung kepada mereka. Kalau bukan saya yang bagi pendedahan, siapa lagi?

“Ini dapat mengetengahkan mereka sebagai bakat pelapis,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Ella yang popular dengan lagu Gemilang mencipta rekod sebagai penyanyi pertama mengundang 100 pemuzik pada sidang media Konsert Ella 2016, kira-kira tiga tahun lalu.

Berbaki sebulan sebelum konsert di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, dianjurkan selama tiga hari mulai 29 Mac depan, , Ella berkata, sebanyak 70 peratus tiket sudah dijual.

“Alhamdulillah, sudah tentu saya gembira apabila jualan tiket baik. Bukan senang orang nak keluarkan duit beli tiket.

“Jadi, mahu memberi persembahan terbaik peminat,” katanya.

Tiket menyaksikan Ella beraksi pada Konsert Ella Unplugged In KL pada harga antara RM179 hingga RM519 boleh dibeli melalui www.proticket.com.my.

Ella bakal mempersembahkan 25 lagu dalam tiga segmen termasuk Melayu Asli dalam konsert itu. Penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu juga akan mendendangkan lagu daripada album baharu, Peace Love Rindu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X