Selasa, 26 Februari 2019 | 3:50pm
AMYRA dan Amar bersama anak sulung mereka, Aqeef Anaqi. Foto Azhar Ramli

Amyra tak tolak rezeki hamil lagi

KUALA LUMPUR: Lebih setahun melahirkan anak sulung, pelakon Amyra Rosli mengakui, sudah bersedia sekiranya diberikan rezeki untuk hamil semula.

Amyra atau nama lengkapnya, Nur Amyra Izzati Rosli, 28, berkata, dia tidak pernah merancang soal anak, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada ketentuan rezeki.

Memandangkan dirinya masih sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Nur 2, ibu kepada Aqeef Anaqi itu berkata, ketika ini, dia mahu memberikan dulu fokus kepada kerjaya.

“Jika ditanya, memang saya sudah bersedia untuk menerima kehadiran anak kedua, lagipun Anaqi sudah berusia setahun lebih.

“Nampaknya Tuhan masih belum memberikan rezeki itu, jadi saya fokuskan dulu kepada kerjaya. Ketika hamil Anaqi dulu, saya berehat agak lama kerana keadaan kesihatan kurang mengizinkan.

“Jika nanti ditakdirkan hamil semula dan tubuh saya kuat, tidak salah rasanya untuk saya terima tawaran kerja yang tidak terlalu berat. Namun, semua itu bergantung kepada keizinan suami,” katanya.

Amyra mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Amar Baharin pada November 2016 dan dikurniakan anak sulung pada 15 Oktober 2017.

Sementara itu, bercakap mengenai Nur 2, Amyra berkata, dia teruja melihat cara pengarahnya, ‎Shahrulezad Mohameddin mengembangkan idea drama itu.

Akui Amyra, watak Nur kali ini lebih mencabar dan semakin berani mempertahankan haknya, bukan lagi menyerah sebagai mangsa keadaan.

“Saya yakin penonton akan berpuas hati dengan jalan cerita yang lebih agresif. Karya terbaru ini lebih terperinci, malah Shahrulezad sangat teliti dan tidak kisah mengambil sedikit masa untuk menyiapkan sesuatu babak.

“Sebelum ini, ramai penonton yang geram dan tertanya-tanya kenapa Nur terlalu lembik, namun kali ini dia lebih berani.

“Pengarah juga tidak hanya memberi fokus kepada Nur dan Adam, sebaliknya setiap watak diberi perhatian yang sama,” katanya.

Ditanya mengenai rakaman babak jatuh kolam renang bersama Noorkhiriah dan Azhan Rani berseluar pendek yang dikongsi di Instagram, Amyra berkata, dia tidak sabar menanti reaksi penonton setia drama itu.

“Rakaman yang tular itu sekadar perkongsian untuk peminat yang ternanti-nanti perkembangan penggambaran drama itu.

“Sebenarnya, pengarah tidak menggalakkan kami berkongsi hal berkaitan penggambaran di laman sosial. Namun, apabila ramai yang terbabit, pasti ada yang terlepas.

“Tidak banyak yang dapat saya ulas, cuma saya berharap peminat akan menanti tayangan drama ini di skrin televisyen tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X