Khamis, 28 Februari 2019 | 11:00am
DUGAAN ketika jatuh sakit sedarkan Azharina supaya lakukan perubahan dalam diri. Foto IG Azharina Azhar

Doakan perubahan saya ini berkekalan - Azharina

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azharina Azhar menganggap dirinya masih dalam proses pembelajaran untuk berhijab, bermula dengan mengenakan selendang sejak dua minggu lalu.

Azharina, 33, bagaimanapun berharap perubahan itu akan berpanjangan kerana dia masih berusaha memperbaiki kekurangan diri.

“Secara jujur, saya agak kurang selesa bercakap mengenai perkara ini kerana masih berusaha untuk muhasabah dan mengenali diri.

“Apa yang saya boleh katakan, pada usia yang semakin meningkat, saya perlu lakukan perubahan dalam hidup.

“Saya bermula dengan memakai selendang sejak dua minggu lalu dan cuba bertudung penuh selepas keluar hospital akibat Rotavirus, baru-baru ini,” katanya.

Azharina berkata, dia membuat keputusan itu tanpa dipengaruhi sesiapa, sebaliknya keinginan untuk berubah tercetus apabila diuji sakit yang menyebabkannya hampir lumpuh.

“Saya tidak pernah menganggap diri sebagai Muslimah yang sempurna apabila mula berubah. Banyak lagi kekurangan dalam diri membuatkan saya takut untuk memaklumkan sudah berhijab penuh.

“Bimbang nanti ada yang mempertikai apabila melihat saya hanya berselendang. Doakan saja yang baik-baik supaya saya istiqamah melakukan perubahan,” katanya.

Penyanyi lagu Elegi Sepi itu juga berkata, sakit yang dialaminya sebelum ini umpama teguran daripada Allah supaya dia kembali melihat diri.

“Saya tidak pernah jatuh sakit seteruk ini hingga sukar untuk bercakap. Itu antara punca yang menggerakkan hati saya untuk berubah.

“Emak juga terkejut melihat saya bertudung, malah pada awalnya menyangka saya mahu menghadiri majlis tahlil. Doakan yang baik-baik kerana saya masih belajar,” katanya.

Berita Harian X