Jumaat, 1 March 2019 | 3:47pm
PENYANYI, As'sad Motawh, bakal memulakan siri jelajah sulungnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, esok. - Foto Muhaimin Marwan

As'ad lancar dua single ciptaan sendiri esok

KUALA LUMPUR: Penyanyi, As’ad Motawh, 18, bakal melancarkan dua single baharu secara eksklusif pada siri jelajah The Percaya Tour yang bermula di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, esok.

Selain memperkenalkan lagu baharunya, artis remaja itu akan turut menjual barangan peribadinya dengan hasil kutipan bakal disumbangkan kepada Persatuan Prihatin Sahabat Sabah.

“The Percaya Tour adalah showcase saya yang pertama sepanjang bergelar penyanyi. Berikutan itu, saya memilih untuk melancarkan dua single sekali gus sempena acara terbabit.

“Lebih istimewa, dua lagu terbabit adalah hasil ciptaan saya sendiri dan ia berbeza sepenuhnya daripada karya pernah saya nyanyikan sebelum ini.

“Bagi menjadi artis berkaliber, kita perlu sentiasa bersikap terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu. Apatah lagi saya sendiri mahu menghiburkan peminat dengan lagu yang lebih pelbagai,” kata penyanyi Senyum dan Percaya itu kepada BH Online.

Selepas The Curve, keesokannya As’ad akan menghiburkan pula peminat di Mahkota Parade, Melaka, diikuti Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor (9 Mac); Center Square, Sungai Petani, Kedah (23 Mac); Kuantan Mall, Kuantan, Pahang (30 Mac); dan Center Point, Kota Kinabalu, Sabah (6 April).

Selain dirinya, persembahan berkenaan akan turut dimeriahkan dengan kemunculan bakat baharu, Isma Sane dan kumpulan Outbreak.

As’ad yang juga artis naungan Beegood Music turut merancang siri jelajah seterusnya bagi mempromosikan album sulung, yang kini dalam proses pembikinan.

Dalam perkembangan lain, As’ad yang pernah menerima kritikan hebat berikutan kegagalannya menyanyi dengan baik, kini mengikuti kelas vokal selama enam bulan di British Academy Performing Arts.

“Saya memang tetap akan menghadiri kelas vokal walaupun bukan kerana kritikan yang tular itu. Sebagai penyanyi, kita pastinya mahu memberikan sesuatu yang terbaik kepada peminat. Saya sendiri berharap vokal saya bertambah baik selepas menghadiri kelas terbabit,” kata bakat berdarah kacukan Melayu-Arab ini.

Tahun lalu, As’ad menerima maklum balas negatif daripada netizen berikutan persembahannya di sebuah institusi pengajian tinggi di utara tanah air.

Bagaimanapun, As’ad tidak melihat kritikan berkenaan sebagai perkara yang mampu menjatuhkannya dalam bidang seni, sebaliknya ia membuatkan anak muda ini lebih bersemangat untuk memperbaiki kelemahan diri.

Berita Harian X