Jumaat, 1 March 2019 | 9:22pm
Pengarah, pelakon dan penyanyi, Mawi, pada majlis pelancaran filem Tiada Tajuk di ibu kota, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Tiada Tajuk judul filem sulung arahan Mawi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mawi, 38, memilih Tiada Tajuk sebagai judul filem pertama arahannya yang bakal menemui penonton mulai 4 April depan.

Ia secara tidak langsung menamatkan teka-teki mengenai judul karya bercorak komedi Islamik itu yang selama ini dihebahkan kepada umum sebagai ‘filem belum ada tajuk’.

Juara Akademi Fantasia musim ketiga yang turut mendapat jolokan Raja SMS itu berkata, judul filem sulung terbitan syarikatnya, Mawi World Entertainment, sudah dirancang sejak awal lagi.

“Pada peringkat awal produksi, saya meletakkan Rock Sangkut sebagai judulnya bagi tujuan pendaftaran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Untuk berbuat demikian, filem yang ingin diterbitkan perlu mempunyai tajuk.

“Namun, hakikatnya saya dan isteri, Ekin, sudah merancang sejak dua atau tiga tahun lalu untuk melahirkan sesuatu yang berbeza. Kami mahu menghasilkan filem yang tidak bertajuk dan alhamdulillah, sekarang impian itu menjadi realiti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancarannya di perkarangan pusat beli-belah Sogo, di sini.

Selain Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, yang turut bertindak sebagai bintang utama filem terbabit, ia juga menampilkan Joey Daud, Along Cham , Hazama dan Amira Othman.

Sebagai usaha menarik orang ramai menonton filemnya di pawagam, Mawi mengadakan peraduan yang menawarkan hadiah lumayan seperti sebuah Perodua Bezza, motosikal Yamaha Y15, pakej umrah dan pakej percutian ke Australia untuk dua orang.

“Selama ini, peminat banyak memberikan sokongan kepada saya sepanjang berkecimpung dalam bidang seni. Kerana mereka jugalah saya menerima pelbagai hadiah lumayan, termasuk kereta. Jadi, inilah masanya untuk saya membalas budi peminat,” katanya.

Peraduan yang bermula pada hari pertama tayangan filem itu memerlukan peminat memuat turun aplikasi Mawi World menerusi platform Play Store atau App Store.

Berita Harian X